webnovel

Aku Di Dunia Elf

Kerana dibenci oleh sahabat baiknya sendiri, dia terbunuh dalam satu misi yang dirancang. Aubree ialah seorang assasin dan juga seorang tentera dengan kemampuan ilmu bela diri yang sangat tinggi dan sukar untuk dikalahkan. Kerana iri hati dengan kelebihan Aubree, Lucy yang sudah menjadi sahabat baik kepada Aubree sejak dari kecil sanggup berkomplot dengan musuh mereka untuk membunuh Aubree. Aubree terlahir kembali di sebuah dunia lain, dunia yang tidak pernah Aubree lihat. Dia terlahir semula di sebuah dunia yang dipanggil Dunia Elf. Dunia Elf? Siapa yang menyangka yang dia akan terlahir semula di badan seorang elf perempuan yang mempunyai nama yang sama dengan dia. Bezanya, elf perempuan ini adalah seorang yang lembap, bodoh dan sangat lemah. Di Dunia Elf, mereka memiliki elemen-elemen dunia dan ilmu bela diri. Elf paling lemah hanya mampu melakukan beberapa jenis ilmu bela diri tanpa elemen mereka... Tapi apa hal pula Elf yang satu ini tiada elemen dunia dan tiada ilmu bela diri. Aubree yang sangat mementingkan ilmu bela diri demi keselamatan diri, menjadi pening dengan badan baru ini. Badan baru ini sangat lemah, sangat-sangat lemah sehingga dia tidak mampu melakukan kerja lain selain menjadi pembantu rumah biasa... Dan pemilik sebelum ini meninggal hanya kerana tertelan roti---Tunggu, apa? Dunia, apa dah jadi? Memandangkan Aubree yang memiliki tubuh ini sekarang, dia berjanji kepada pemilik sebenar yang dia akan meneruskan hidup dan menukarkan sejarah kehidupan yang menyedihkan.

bbeatyybrr · Fantasy
Not enough ratings
93 Chs

Tetamu Tidak Diundang(1)

Aubree memandang kumpulan Putera Kedua meninggalkan tempat itu. Para pengikut Aubree yang lain hanya berdiri di belakang Aubree dan mereka juga sedang memerhati kumpulan Putera Kedua itu pergi.

"Sayangnya, kenapa Putera Spencer tidak ikut kita balik ke Kerajaan Iron Tulip saja?" tanya Julie dengan wajah suram.

Aubree menjeling Julie yang berdiri di sebelahnya. Lalu dengan wajah tidak berperasaan, dia berpaling ke belakang dan masuk kembali ke dalam kereta. Julie pula yang tergesa-gesa mahu mengejar Aubree.

Aubree memandang ke arah Luthien yang berdiri di luar kenderaan mereka. "Mari teruskan perjalanan. Kita tidak boleh buang masa lagi. Kita harus sampai di Kerajaan Iron Tulip secepat mungkin."

Luthien mengangguk tanda faham dan dia berlalu dari sana. Dia pun mula mengarahkan pengikut yang lain untuk segera bersiap agar mereka boleh bergerak secepat mungkin.

Setelah semua persiapan sudah dilakukan, Aubree dan kumpulannya juga bergerak meninggalkan tempat itu, menuju ke arah yang bertentangan dengan jalan yang digunakan oleh Putera Kedua tadi.

Saat mereka pergi, Aubree dan kumpulannya tidak menyedari ada sekumpulan Elf berseragam hijau gelap sedang memerhati mereka dari atas sebuah pokok yang berdaun lebat.

Salah seorang dari mereka memandang kereta yang dinaiki oleh Aubree tadi. Senyuman kecil terbentuk di bibir. "Saya tahu dia bukan sekadar seorang wanita biasa..."

***

***

Setelah perjalanan mereka selama dua hari, akhirnya Aubree tiba di tempat di mana terletaknya persembunyian para Tentera Elf dari Kerajaan Iron Tulip. Ketika dia tiba, semua Tentera Elf sudah pun berkumpul untuk menyambut kedatangan dia dan mereka segera menunduk hormat ke arah Aubree.

"SELAMAT KEMBALI, YANG MULIA!!"

Aubree yang berdiri di depan ratusan orang Tentera Elf yang sedang melutut di depan mereka. Julie yang berdiri di belakang Aubree dan melihat pertama kalinya ratusan orang Tentera Elf sedang melutut hormat kepada Aubree membuatkan Julie ternganga kerana kagum.

Julie memandang Aubree dengan perasaan kagum dan bangga. "Tak sangka kau adalah Permaisuri mereka yang sebenar!"

Aubree sekadar memberikan sekilas renungan kepada Julie sebelum dia memandang ke depan. Melihat ada ratusan Tentera Elf yang berada di depannya saat ini, Aubree agak lega kerana masih ramai yang setia kepada Permaisuri kepada Kerajaan Iron Tulip dan bukannya kepada Raja Kong yang menguasai Kerajaan Iron Tulip sekarang ini.

Seorang Tentera Elf wanita yang mempunyai tatu merah berbentuk tiga garis di tepi pipi kanannya mendekati Aubree. "Selamat datang, Yang Mulia. Kami sudah menunggu kedatangan Yang Mulia sejak lama. Mari saya tunjukkan di mana Yang Mulia akan berehat. Yang Mulia boleh panggil saya Haleth, saya adalah ketua pasukan pertama Tentera Elf."

Aubree mengangguk dengan kata-kata Haleth. Dia pun mengikuti Haleth untuk pergi ke bahagian khemah tempat dia akan berehat.

Kawasan persembunyian ini bukanlah seperti sebuah perkampungan melainkan sebuah perkhemahan besar-besaran di mana Tentera Elf akan berkumpul dan mencari masa yang sesuai untuk merampas kembali Kerajaan Iron Tulip dari tangan Raja Kong.

Khemah tempat Aubree berehat adalah sebuah khemah yang paling besar dari antara semua khemah dan mempunyai dua tiang bendera yang dipacakkan di depan pintu masuk khemah. Bendera itu mempunyai bentuk bunga tulip dengan warna kain bendera adalah berwarna ungu gelap.

Aubree masuk ke dalam khemah dan memandang sekeliling. Sebagai seorang Permaisuri Kerajaan Iron Tulip, kemudahan dan perkhidmatan Aubree lebih banyak dan mewah berbanding Tentera Elf yang lain. Inilah apa yang dilihat oleh Aubree sekarang ini dan Aubree mengaku yang dia kagum dengan persediaan khemah ini.

[Mereka sudah siapkan khemah ini sejak awal mereka tinggal di sini. Mereka sudah lama menantikan kedatangan Yang Mulia.]

Aubree memandang White yang sudah pun ada di sebelahnya. »Mereka langsung tidak mencurigai saya dan membenarkan saya masuk ke tempat ini. Bagaimana jika suatu hari nanti kalau terbukti saya bukan Permaisuri Iron Tulip?«

[Mereka mempercayai saya boleh mencari dan membawa Yang Mulia kembali ke sini. Tugas seekor Haiwan Sakti adalah untuk menemani dan mendampingi pewaris Kerajaan Iron Tulip. Jika pewaris Kerajaan Iron Tulip meninggal dunia atau hilang, Haiwan Sakti yang dimiliki oleh Keluarga Kerajaan yang akan bertanggungjawab untuk memilih pewaris yang seterusnya.]

»Jadi, maknanya... Seseorang yang tidak mempunyai darah keluarga kerajaan mempunyai kemungkinan untuk tidak menjadi pewaris kerajaan?«

[Tidak semestinya Yang Mulia. Alasan kenapa Yang Mulia dipilih adalah kerana Yang Mulia mempunyai darah keluarga kerajaan yang tulen.]

Kenyataan dari White itu membuatkan Aubree terkejut. Tapi belum sempat dia bertanya lebih lanjut, Haleth sudah pun bercakap dengan Aubree.

"Yang Mulia, Yang Mulia boleh berehat dulu. Jika Yang Mulia inginkan apa-apa, Yang Mulia boleh panggil penjaga di luar khemah."

Aubree menganggukkan kepalanya. Bila dia teringatkan tentang Julie, dia memandang ke arah Haleth lagi. "Julie adalah kawan saya. Saya harap kamu boleh layan dia dengan baik dan berikan dia tempat tidur yang selesa."

Haleth menundukkan kepalanya dengan rasa hormat. "Baik, Yang Mulia." Setelah itu, Haleth berlalu keluar dari sana, meninggalkan Aubree bersama White.

»Apa maksud kau yang saya mempunyai darah keluarga kerajaan yang tulen? Orang tua saya tidak berasal dari keluarga kerajaan.«

White berjalan menuju ke sebuah tilam kecil yang dipenuhi dengan bantal-bantal yang empuk dan tebal. Tempat itu disediakan khas untuk White agar Haiwan Sakti itu boleh berehat di khemah yang sama dengan Aubree.

[Ada banyak perkara yang Yang Mulia tidak tahu tentang diri Yang Mulia. Apapun jawapan yang Yang Mulia ingin cari, sekarang adalah bukan masanya untuk Yang Mulia mencari jawapannya. Yang Mulia harus bersabar jika Yang Mulia hendak tahu jawapan bagi semua persoalan Yang Mulia itu.]

Aubree tidak mampu mengatakan apa-apa lagi dan membiarkan White berbaring dan tidur di tempat tidurnya.

Kerana White tidak mahu lagi mengatakan apa-apa kepada Aubree, Aubree pun tidak mahu bertanya lagi. Jadi dia pun mendekati katil yang tersedia dan duduk di hujung katil. Aubree berfikir tentang kata-kata White sebelum ini.

»Saya mempunyai darah keturunan? Tapi saya bukan berasal dari dunia ini. Bila saya bangun saja, saya sudah ada di dalam badan ni. Adakah ini bermakna yang pemilik asal badan ini mempunyai darah keturunan diraja? Tapi kenapa dia hidup di kerajaan lain dan hidup sebagai seorang pembantu Elf?«

Aubree yang masih tertanya-tanya itu menghabiskan masa beberapa jam berfikir sebelum akhirnya dia merasa sangat penat. Dia pun mengambil keputusan untuk berehat saja dulu. Mungkin dia boleh mendapatkan jawapannya di kemudian hari.

***

***

Sejak Aubree tiba di perkhemahan ini, semua Tentera Elf yang berkumpul di tempat ini merasa lega kerana akhirnya pemimpin yang akan memimpin mereka untuk merebut kembali Kerajaan Iron Tulip sudah tiba.

Kerana itulah pada malam itu, semua Tentera Elf membuat perayaan untuk menyambut kedatangan Aubree.

Aubree tidak membantah pun keputusan para Tentera Elf itu dan hanya membiarkan mereka melakukan apa yang mereka mahu.

Perayaan mereka pada malam itu hanyalah dengan menyalakan unggun api yang besar dan pesta makanan yang sedap.

Sebagai seorang Permaisuri di Kerajaan Iron Tulip, Aubree duduk di atas sebuah pentas yang lebih kurang seperti sebuah takhta. Aubree memandang para Tentera Elf yang sedang berpesta dengan gembira sambil meminum wain istimewa yang disediakan untuk dia.

Julie pula duduk di sebuah meja tidak jauh dari Aubree dan dia juga sedang menikmati makan malam yang pelbagai di atas mejanya sendiri.

"Yang Mulia, kami sangat gembira Yang Mulia sudah datang ke sini. Kami sudah lama menantikan kedatangan Yang Mulia, berharap Yang Mulia boleh memimpin kami untuk merebut kembali Kerajaan Iron Tulip," Seorang Tentera Elf yang nampak sudah tua dan mempunyai pangkat jeneral, memulakan perbualan kepada Aubree.

Aubree menoleh ke arah Jeneral itu sebelum dia memberikan senyuman yang kecil. "Saya bertuah kerana masih memiliki pejuang yang setia seperti kalian semua. Selepas ini, kalian tidak perlu risau lagi kerana selepas ini, kita pasti akan berjaya merebut kembali Kerajaan Iron Tulip."

Mendengar kata-kata dari Aubree itu, semua Elf yang ada di pesta itu mengangkat gelas mereka dan menyorak dengan suara yang kuat. Setelah itu, mereka terus menghabiskan minuman mereka dengan sekali teguk saja.

Julie yang melihat kelakuan para Tentera Elf bersorak itu, terlopong sambil kedua tangannya masih memegang dua paha ayam panggang. 'Sampai begitu sekali mereka menyorak kepada Aubree? Hebat!'

Ketika mereka sedang bersorak, tiba-tiba seorang Tentera Elf berlari ke arah Aubree. Dia melutut di depan Aubree dan melapor, "Yang Mulia, kami telah melihat ada sekumpulan orang yang tidak dikenali sedang berkumpul tidak jauh dari tempat persembunyian ini. Mohon Yang Mulia untuk memberikan arahan seterusnya kepada kami."

Apabila laporan itu diberikan kepada Aubree, muzik segera berhenti dan semua Tentera Elf yang masih berpesta itu segera berdiri dari tempat mereka duduk.

Mereka masing-masing mengeluarkan aura dan gaya mereka sendiri seakan-akan mereka sudah bersedia untuk pergi berperang.

Aubree dengan cepat mengangkat tangannya untuk menghentikan semua Tentera Elf itu daripada melakukan apa-apa yang buruk. Walaupun dia merasa terkejut ada juga Elf yang menjumpai tempat persembunyian ini tapi dia tidak merasa yang datang itu adalah mereka yang berasal dari Kerajaan Kegelapan.

"Saya akan periksa masalah ini sendiri. Yang lain tinggal saja di sini dan jangan lakukan apa-apa," kata Aubree.

"Yang Mulia, Yang Mulia tidak boleh bertindak sesuka hati. Bagaimana jika yang bersembunyi itu adalah Tentera Kegelapan? Nyawa Yang Mulia nanti dalam bahaya," kata Haleth dengan wajah yang cemas memandang Aubree.

Aubree berdiri dan memandang Haleth dengan senyuman yang kecil di wajahnya. "Saya akan baik-baik saja. Tiada apa-apa yang akan terjadi. Bawa enam orang Elf untuk mengikuti saya."

Setelah siap memberikan arahan, Aubree pun berjalan pergi dari sana.

Haleth yang melihat Permaisuri mereka berjalan pergi dan tidak mahu mendengarkan mereka, membuatkan dia mengeluh kecil.

"Baiklah, Bailey, Iston, Haleth, Freda, Elva, kamu semua akan mengikuti Permaisuri ke sana. Semuanya bergerak sekarang!" kata Luthien kepada para Elf yang dia sudah sebutkan tadi. Mendengar arahan dari Luthien itu, para Tentera Elf yang sudah disebut itu segera menyediakan senjata mereka dan mengikuti Luthien.