1 Prolog

DUM! DUM!

Bunyi dentuman kilat yang kuat menghiasi langit di malam hari. Perlahan-lahan, hujan mulai turun membasahi bumi. Kedengaran samar-samar bunyi percikan air serta tapak kasut yang diselangi dengan bunyi dentuman kilat yang menyambar di ruangan langit. Dari jauh, kelihatan seorang pemuda berbaju t-shirt putih dan seluar hitam berjalan di tengah hujan menuju ke arah rumah agam besar yang dikelilingi pokok-pokok besar. Pemuda tersebut mengemaskan pegangan katana yang berada di tangannya dengan erat.

Bila dilihat dari jauh, dia tidak ubah seperti taiko gangster yang sedang menuju ke rumah musuhnya. Lagi-lagi dengan darah yang dilihat menitik di hujung katana yang dipegang. Siapa sahaja yang melihatnya pasti akan berasa takut dan segera lari menyembunyikan diri agar tidak menjadi mangsa pemuda itu.

Lelaki itu menghentikan langkahnya tatkala dia tiba di hadapan rumah agam itu.

KREAK!

Pintu rumah agam itu dibuka perlahan sebaik sahaja dia tiba. Dengan langkah perlahan, pemuda itu melangkah masuk ke dalam rumah agam yang gelap gelita itu dan berjalan menuju ke tingkat atas.

DUM!

Sekali lagi kilat menyambar. Kali ini kilat menyambar di atas rumah agam itu. Cahaya kilat yang memancar ke dalam rumah agam yang gelap itu menampakkan dengan jelas darah yang bertompok pada baju t-shirt putih yang tersarung di tubuh pemuda itu. Langkah pemuda itu terhenti. Dia memusingkan tubuhnya menghadap pintu yang berada di sebelah kanannya. Dia perlahan-lahan memulas tombol pintu itu sehingga pintu itu terbuka dengan luas. Di sebalik pintu itu, jelas kelihatan seorang lelaki tua berbaju sut hitam sedang duduk di meja pejabat.

"Masuk." Perintah lelaki tua itu tatkala dia menyedari kehadiran pemuda itu.

TUK!

Katana yang berada di tangan pemuda itu sebentar tadi kini terpacak di atas meja. Lelaki tua itu tetap dengan wajah tenang tanpa merasa takut dengan tindakan pemuda itu. Pemuda itu mengorak langkah dengan riak muka dingin sehingga dia berada 5 sentimeter dari meja pejabat itu. Dia kemudian, menundukkan kepalanya sambil berlutut seakan-akan seperti seorang panglima yang sedang menghadap raja.

"Jadi kau buat keputusan untuk bunuh aku dan kembali pada keluarga kau?" Soal lelaki tua itu. Pemuda itu hanya mendiamkan diri, tidak membalas pertanyaan lelaki tua. Lelaki tua itu cuba membaca air muka lelaki itu tetapi lelaki itu tetap dengan riak wajahnya yang dingin.

"Aku anggap kau maksudkan ya." Lelaki tua itu bersuara.

"Tetapi, sebagai ganti nyawa aku, mulai dari hari ini, aku mahu kau jaga anak aku, sehingga akhir hayat dia. Dan aku arahkan kau untuk sembunyikan latar belakang keluarga aku dari pengetahuan dia. Rahsiakan asal usul dia." Perintah lelaki tua itu.

"Kalau kau gagal menurut perintah aku, aku perintahkan kau untuk mati." Tambah lelaki tua itu.

Pemuda itu mendongakkan kepalanya perlahan-lahan memandang lelaki tua itu.

"Wakatta (Saya faham)." Pemuda itu bangun lalu mengeluarkan pistol yang diselitkan di pinggangnya. Dia kemudian mengacukan pistol itu ke arah lelaki tua itu. Ibu jarinya digerakkan untuk menarik picu pistol.

BAM! TUM!

Bunyi tembakan kuat diikuti dengan bunyi kilat yang menyambar menyembunyikan bunyi kuat tembakan itu. Kilat yang memancarkan cahaya ke dalam bilik pejabat itu menampakkan separuh wajah pemuda itu yang dikotori dengan percikan darah. Apa yang lebih mengejutkan, wajah dingin pemuda itu masih kekal walaupun dia baru sahaja membunuh seseorang. Tidak ubah seperti seorang psikopat yang membunuh tanpa rasa bersalah. Pada malam itu, hujan dan kilat menjadi saksi kejadian yang berlaku dan saksi perjanjian yang dibuat antara mereka.

Dan tiada siapa yang tahu sejauh mana pemuda itu mampu memikul perjanjian yang dibuat antara dia dan lelaki tua itu. Adakah dia akan mengikut sahaja perintah lelaki tua itu atau anak lelaki tua itu akan terima nasib yang sama seperti bapanya?

avataravatar
Next chapter