1 PROLOG

Jika rindu ini

Berterbangan bersama angin

Dan tumpah ke lautan dalam

Mampukah alam untuk menanggungnya.

     Sinar matahari pagi membasahi alam,  merahmati perjalanan seorang insan yang ingin mencari nafkah. Adzin nama diberi. Seorang lelaki berumur 25 tahun yang masih tidak mempunyai perancangan masa depan.

     Dia bekerja di sebuah kilang elektronik yang terkemuka dalam negara menyandang jawatan sebagai Supervisor.

     Pagi itu, dalam perjalanan ke tempat kerja dengan menaiki motosikal, mindanya menerawang terfikir sesuatu yang berlaku dalam hidupnya. Sesuatu yang dia tidak mampu untuk faham.

     Adzin tidak pernah mempunyai kekasih. Dia juga tidak pernah mempunyai perasaan cinta dalam hatinya. Melihat orang lain jatuh cinta membuatkan dia rasa aneh dan tertanya-tanya kerana dia tidak pernah mengalami perkara itu.

     Tapi beberapa bulan ini, perkara aneh terjadi dalam hidupnya. Benaknya masih keliru dengan apa yang terjadi. Hidupnya sekarang seperti teka-teki yang masih tidak mempunyai jawapan.

     Akhirnya dia sampai di tempat kerja dan menjalankan rutin kerjanya seperti biasa. Sempat dia duduk berbual bersama rakan sekerja iaitu Amir.

     Ini ialah pertama kali, dia meluahkan apa yang terjadi dalam hidupnya beberapa bulan ini. Dia memulakan perbualan dengan soalan. "Mir, kau pernah tak, rindu orang yang tak wujud?"

     "Tak wujud, tak pernah. Orang gila je rindu benda yang tak wujud." Balas Amir sambil mengangkat kening membuat riak wajah hairan.

    "Habis aku dah gila ke ni?"

    Amir terkejut. "Lah kau cakap pasal diri kau ke?"

    "Aah lah, beberapa bulan ni, aku rasa macam ada perkara aneh yang terjadi pada diri aku."

    "Contoh?"

    "Aku rasa rindu pada orang yang aku tak kenal." Luah Adzin mula memandang kosong ke arah mesin.

     "Kau tak kenal? Kau tahu muka dia?"

     "Wajah perempuan ni ada dalam ingatan aku. Nama dia pun aku tahu. Dia ada dalam fikiran aku walaupun aku tak pernah jumpa dia."

    "Jadi kau rindu dia?"

     "Ya, aku rindu dia. Setiap hari aku rasa macam sakit sebab dia tiada di sisi aku sedangkan aku tak kenal dia. Macamni ke orang yang bercinta rasa?" Soal Adzin pada Amir yang sudah pun berumah tangga.

    "Kalau lama tak jumpa, memang lah rindu. Tapi masalah kau ni, jumpa pun tak pernah tiba-tiba rindu."

    "Habis? Macammana sekarang ni? Aku keliru lah."

    "Ke semua ni ada kena mengena dengan sihir."

     Adzin terdiam mendengar jangkaan Amir. "Aku kena sihir ke?"

     Mereka berdua meneruskan kerja. Minda Adzin masih lagi tertanya-tanya. Mindanya tidak dapat memproses apa yang sedang berlaku.

     Waktu berjalan pantas, 2 tahun sudah berlalu. Dia masih mengalami masalah yang sama. Rasa rindu pada orang yang dia tidak kenal masih lagi menghantuinya.

     Dia sudah berpindah tempat kerja. Pada hari pertama di tempat yang baru, nasibnya malang. Tangannya luka dan mengalami pendarahan.

    Dia dibawa ke klinik berdaftar dengan kilang tempat kerjanya.

   

    Semasa dia duduk di dalam bilik rawatan, seorang jururawat masuk ke dalam hendak mencuci luka pada tangan Adzin.

    Dia tersentak melihat wajah jururawat itu, dia tergamam. Jururawat itu meminta izin untuk mencuci lukanya.

     Tapi Adzin masih tergamam dan bersuara. "Nama awak Lucy kan?"

     Berkerut dahi jururawat itu memandang Adzin dengan rasa hairan yang berlapis-lapis. "Macammana awak tahu nama saya?"

   

    

avataravatar
Next chapter