webnovel

Seseorang Mengekori Mereka

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Kau tak perlu risau tentang itu." Li Sicheng bangun dan memandang Rong Rui dengan senyuman nipis. "Jom, isteri aku sedang tunggu aku jemput dia." 

Rong Rui turut bangun dan memandang Li Sicheng. "Bukan saja isteri, malah anak aku pun sedang tunggu aku."

"Oh…" Li Sicheng mengangguk dan berkata, "Anak-anak aku sedang tunggu di rumah." Dia berhenti seketika sebelum menyambung, "Kembar."

Rong Rui mencebik dan keluar dari bilik itu.

Li Sicheng mengikutinya dari belakang dan berkata, "Dan seorang lagi anak lelaki."

"Tak matang betul!" kata Rong Rui. "Apa gunanya bertanding begini?" Namun walaupun mulutnya berkata begitu, hatinya terasa cemburu. Li Sicheng mempunyai tiga orang anak manakala dia hanya seorang. Kenapa? Dia perlu dapatkan lebih ramai anak. Tidak mungkin dia mahu kalah dengan lelaki ini dalam aspek itu! Rong Rui berfikir dengan tekad ketika berjalan keluar dari restoran itu. Li Sicheng mengangkat kening dan jelas sedang dalam mood yang baik.

Tak matang? Ia hebatlah!

Rong Rui menjemput isteri dan anaknya bersama Li Sicheng yang menjemput Su Qianci. Ketika membuka pintu kereta untuk ke tempat duduk pemandu, Rong Rui tiba-tiba dapat merasakan seseorang sedang memerhatikan mereka.

Rong Rui amat sensitif dengan keadaan sekelilingnya. Seseorang sedang mengekori mereka! Dia memandang sekeliling sebelum berbisik kepada Li Sicheng yang berada berhampirannya, "Ada orang sedang perhatikan kita. Kau dapat rasa tak?"

Li Sicheng mendengar bisikan itu tetapi hanya memandang Rong Rui dengan acuh tidak acuh sebelum masuk ke tempat sebelah pemandu dengan tenang. Seolah-olah dia sudah mengetahuinya. Rong Rui berasa seakan tidak percaya. Bagaimana Li Sicheng boleh sebegitu tenang?

Dahi Rong Rui berkerut sebelum dia teringat kata-kata yang baru dituturkan Li Sicheng tadi: "Kau tak perlu risau tentang itu." Nampaknya…

Rong Rui tiba-tiba merasakan dirinya terlalu naif dan tidak banyak tahu mengenai Li Sicheng. Betul. Jika dilihat dari perwatakan Li Sicheng, tidak mungkin dia akan keluar tanpa sebarang langkah-langkah keselamatan dalam situasi begini? Rong Rui tersenyum lalu memandang Li Sicheng dengan mata yang bercahaya yang tidak dapat difahami oleh Cheng You dan Su Qianci.

Selepas hujan berhenti, bau lumpur dan rumput berbau semerbak di bandar Kingstown. Terdapat sebuah tasik kecil berhadapan rumah lama keluarga Li. Di sebelah tasik itu terdapat pokok-pokok menghijau yang tinggi serta rimbunan bunga yang cantik dan segar.

Tiga orang kanak-kanak sedang duduk di atas bangku kecil masing-masing sambil melukis di atas papan lukisan mereka. Tiga orang pengawal peribadi berdiri di sekeliling mereka dengan tegak dan senyap.

Pengajar sedang memeriksa lukisan mereka. Apabila melihat gambar berwarna-warni yang dilukis oleh Li Jianyue, dia membongkok lalu bertanya, "Ersu, beritahulah cikgu apa yang kamu lukis?"

Li Jianyue kelihatan serius dengan kepala yang ditelengkan. Dia menunjuk ke arah garisan hijau di bahagian bawah kertas lukisan itu. "Ini rumput kecil." Kemudian dia menunjuk ke arah lukisan comot berwarna biru, "Ini tasik kecil," dan lukisan berwarna hijau gelap dan coklat, "Ini pokok kecil. Saya belum lukis yang lain lagi. Nanti saya tunjuk pada cikgu bila saya dah siap."

Pengajar itu kelihatan geli hati lalu mengusap rambut Li Jianyue. "Cantik." Li Jianyue berasa bangga menerima pujian itu.

Kemudian dia menoleh ke arah Li Jianqian lalu menjerit, "Abang, tengok apa saya lukis!"

Li Jianqian sedang melukis sepohon pokok yang besar. Pengajar itu turut menjenguk lukisannya. Kelihatan lukisan dua gunung dan matahari terbit yang amat klasik pada kertas lukisan budak lelaki itu.