webnovel

Sepupu Terencat Akal

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Semua orang terdiam, manakala Su Qianci tidak dapat menahan dirinya daripada tergelak kecil. Otak genius seperti Lu Yihan dikatakan terencat? Ketika tergelak, Su Qianci tiba-tiba menyedari satu pandangan dingin sedang dilemparkan ke arahnya, lalu terus menundukkan kepala.

Wartawan-wartawan di situ kelihatan terkejut. Ada dalam kalangan mereka pantas bertindak dan terus memuat naik berita baru: "Pembongkaran Besar! Su Qianci Menjaga Sepupunya Walaupun Sedang Belajar!"

Di depan televisyen di rumahnya, Lu Yihan tersedak makanannya sehingga membuatkan matanya berair. Apabila dia akhirnya dapat menenangkan diri, dia merenung tajam ke arah rakan-rakannya yang sedang ketawa dengan kuat lalu menempelak, "Kau semua ketawa apa?!"

"Terencat akal… Identiti sebenar si genius Lu Yihan."

"Aku tak boleh berhenti ketawa… Kelakar nak mati…"

Lu Yihan menggenggam penumbuk dan menghentakkan kakinya. "Tak guna kau Li Sicheng!"

"Haha. Siapa suruh kau berkawan baik dengan isteri dia. Kalau aku jadi dia, aku akan cakap kau ada STD."

Lu Yihan menyepak rakannya itu. "Selepas ini, aku akan ajar Li Sicheng. Aku akan godam komputer dia dan penuhkannya dengan bahan lucah."

Mata rakan-rakan Lu Yihan bersinar. "Boleh kau buatkannya di komputer aku?"

"Pergi mampus!" Lu Yihan menumbuk rakannya. "Kau dah siapkan kerja itu?"

"Dah tentu. Gambar-gambar ini diambil dengan dua kamera berbeza. Satu kamera professional dari sebuah syarikat penyiasatan kecil, manakala satu lagi menggunakan kamera telefon milik salah seorang bekas rakan sekelas kita. Cuba teka siapa?"

"Liu Anan?"

Rakan Lu Yihan kelihatan terkejut. "Macam mana kamu tahu?"

"Berita seperti ini dah cukup untuk musnahkan hidup mana-mana perempuan. Aku tak rasa ada orang selain Liu Anan yang amat bencikan Qianqian hingga sanggup membelanjakan wang sebanyak itu demi menyebarkan berita ini," kata Lu Yihan dengan sinis. Wajahnya yang kebiasaannya kelihatan tidak ambil kisah terus bertukar serius. "Bukankah Lin Wanting akan berkahwin? Kita tak patut biarkan Liu Anan terlepas setelah apa yang dia buat kepada Qianqian."

"Apa yang kau nak buat?"

"Kau patut tanya Qianqian. Ia terpulang kepada dia."

Selepas seminggu kejadian itu berlaku, berita utama di semua laman web popular masih berkaitan dengan "Puan Su", "Li Sicheng", dan "Ratu Kampus Jalang". Antara semua berita itu, tajuk yang paling menarik perhatian adalah "Ratu Kampus Universiti Kingstown: Isteri Rahsia Si Lelaki Idaman".

Hanya dalam masa beberapa hari, Su Qianci seperti melalui neraka dan kemudian diangkat kembali ke syurga. Ini adalah kali pertama hidupnya sebegitu dramatik sepanjang dua kehidupannya. Selepas kejadian itu, Su Qianci menjadi tumpuan di universiti. Jika dahulu ramai merenungnya disebabkan kecantikannya, tetapi kini dia direnung kerana identitinya sebagai isteri Li Sicheng.

Presiden Wang telah digantung kerja, dan tidak lama lagi presiden baru akan dilantik menggantikannya. Selepas minggu yang penuh drama itu, pada 30 September, Su Qianci dan Li Sicheng pulang ke rumah lama. Mereka dipanggil oleh Kapten Li untuk sama-sama mengemas barang bagi percutian mereka bertiga keesokan harinya. Walau bagaimanapun, Su Qianci tidak menyangka sebelum mereka pergi bercuti, satu-satunya perkara yang paling ditakutinya akan berlaku.