webnovel

"Tak guna. Saya tak boleh tonton lagi…"

"Encik Li sungguh tampan."

"Su Qianci memang bertuah dapat lelaki seperti ini."

Rakan sekelas Su Qianci berkata-kata dengan nada penuh cemburu dan kagum.

Wajah Li Sicheng dingin seperti selalu. Namun begitu, jelas anginnya baik, berdasarkan kelembutan di wajahnya. "Hai. Terima kasih kerana hadir ke sidang media isteri saya. Saya adalah Li Sicheng." Suaranya dalam dan lunak, amat menawan.

Su Qianci terlihat wajah suaminya dan jantungnya berdebar-debar. 'Tampannya dia…' Wajah Su Qianci menjadi kemerah-merahan sewaktu memandang skrin itu. Dia tahu Li Sicheng telah membuat rakaman ini terlebih dahulu. Berdasarkan latar belakangnya, video ini dirakam di Amerika.

"…Pada ketika itu, kami akan mengadakan majlis perkahwinan besar-besaran. Saya harap kamu dapat hadir lagi. Terima kasih."

Li Sicheng tidak pandai berucap. Dia kedengaran seperti sedang membaca berita. Namun begitu, Su Qianci terhibur dan memandang wajah suaminya sambil tersenyum manis. Dia berasa sungguh gembira. Dia sangkakan ucapan Li Sicheng hampir tamat. Tetapi, wajah lelaki itu menjadi semakin lembut, seolah-olah dia sedang berhadapan dengan Su Qianci. Katanya, "Saya mahu berterima kasih kepada isteri saya kerana menanti kepulangan saya."

Isteri… Sedap juga bunyinya.

"Saya akan tunggu kamu," Su Qianci tidak dapat menahan dirinya daripada menjawab dengan perlahan. Dia tidak perasan yang dia berada di hadapan mikrofon. Suaranya jelas kedengaran.

Di skrin, Li Sicheng terhenti seketika dan berkata, "Sayang kamu."

Semua orang terkejut.

Li Sicheng menggunakan ayat jiwang? Semua orang bujang yang hadir di situ mahu membunuh diri mereka.

"Dunia ini dah gila." Ou Ming hampir menelan gelas di tangannya. "Dia dah hilang akalkah?"

"Reaksi saya sama dengan kamu sewaktu mula-mula menontonnya," kata lelaki muda yang duduk di hadapan Ou Ming. Kali ini dia berpakaian formal demi majlis ini.

Memandang komputer riba di hadapannya, lelaki muda itu menaip di papan kekunci sambil mengeluh. "Dia tinggalkan masalah begitu rumit untuk saya selesaikan. Teruk betul!"

Ou Ming meluahkan isi hatinya yang sebenar, "Saya dengar kamu ugut Li Sicheng dengan sejumlah wang yang banyak. Sekarang kamu uruskan sesuatu untuk dia pula. Kalau saya jadi dia, saya dah bunuh kamu."

Luo Zhan ketawa. "Sssh! Kalau kamu tak sebut hal ini, kita masih boleh berkawan baik." Dia mengangguk dengan puas hati setelah menekan satu butang di komputer riba itu. "Siap! Misi selesai. Sekarang saya dah dapat lagi sepuluh juta."

Yu Lili hampir tercekik wainnya. "Sepuluh juta?"

Aduh, dia tak faham dunia orang-orang kaya ini. Kalau Li Sicheng tak dapat hadir, dia boleh uruskan saja seorang pembantu untuk memainkan video. Kenapa dia perlu melanggan khidmat seseorang yang begitu mahal, hanya untuk memainkan video? Yu Lili langsung tak faham.

Ketika orang ramai sedang bercakap-cakap tentang keintiman pasangan itu, kedengaran satu suara perempuan yang manis.

"Saya tak patut beritahu perkara sebenar pada hari seperti ini."

Mendengar kata-kata itu, semua orang tercari-cari siapa yang telah bersuara. Kemudian mereka terlihat satu susuk tubuh langsing di bahagian belakang dewan. Tang Mengying memegang mikrofon dan berjalan ke pentas sambil dipandang oleh semua orang. Ramai yang mengenalinya kerana Tang Mengying pernah menjadi setiausaha Li Sicheng. Atas sebab-sebab tertentu, dia telah meninggalkan Syarikat Kewangan Li.

Sambil memandang Su Qianci, Tang Mengying kelihatan berani dan berkata perlahan-lahan, "Walau bagaimanapun, saya tak mampu lagi menahan diri saya. Encik Li ialah seseorang yang saya amat hormati dan paling saya sukai dalam dunia ini. Saya tidak boleh bertoleransi dengan hakikat ada orang berlaku curang dengannya. Hari ini saya akan mendedahkan rahsianya."

Semua orang terkejut.

Mendedahkan rahsia? Su Qianci ada menyembunyikan sesuatu daripada semua orang?