webnovel

Saya Kenal Kamu, Kamu Papa

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Kelihatan satu susuk tubuh yang tinggi di hadapan Li Jianyue. Gadis kecil itu mendongak dan cahaya matahari sedang bersinar terang di atas kepalanya. Lelaki itu berdiri berlawanan dengan cahaya matahari dan sedang memandangnya. Wajah lelaki itu tampan dan amat serupa dengan wajah Papanya yang dilihat Li Jianyue di dalam gambar. Mata gadis kecil itu terbeliak dan dia terus menjerit, "Memang betullah Papa!"

Suara comel itu mencairkan hati Li Sicheng. Panggilan "Papa" yang keluar dari mulut kecil itu menimbulkan satu perasaan yang aneh dalam dirinya. Li Sicheng membongkok lalu mendukung Li Jianyue dan tersenyum kepada wajah yang amat mirip dengan Su Qianci itu.

Walau bagaimanapun, suaranya seakan tersekat dan matanya sedikit kemerahan. Li Sicheng mahu mengatakan sesuatu tetapi tidak berjaya menuturkannya.

Li Jianyue memandang lelaki di hadapannya itu dengan terkebil-kebil dan menyentuh telinga Li Sicheng dengan tangannya yang lembut. Tetapi sebaik menyentuhnya, dia terus melepaskan telinga itu lalu ketawa.

Li Sicheng menyentuh rambut anak perempuannya yang diikat dua. Tangannya sedikit bergetar. Dia berasa gementar dan sedikit geli hati pada masa yang sama. Li Sicheng ketawa kecil dan berbisik kepada Li Jianyue, "Kamu kenal saya?"

"Ya!" Li Jianyue memegang lengan Li Sicheng. Suara gadis kecil itu amat manis ketika dia memandang lelaki yang mendukungnya sambil tersenyum. "Kamu Papa!"

Orang-orang di dalam mendengar dengan jelas suara Li Jianyue dan membuatkan mereka semua terkejut kecuali Su Qianci.

"Sicheng?" Qin Shuhua terkejut dan bergegas ke pintu dengan wajah tidak percaya. Belum sempat dia tiba di pintu, dia melihat satu susuk tubuh berjalan masuk dengan cucunya. Kening itu, wajah itu… adakah itu Li Sicheng? "Oh Tuhan!" Qin Shuhua menjerit dan berundur tanpa sedar. Air matanya terus mengalir laju. Suaranya menggeletar ketika dia bertanya, "Sicheng?"

Li Sicheng yang masih mendukung anaknya mengangguk dan memanggil, "Ibu."

Qin Shuhua amat gembira sehingga kehilangan kata-kata. "Betulkah itu kamu? Anak Ibu?"

Kapten Li yang berada di belakang memandang Li Sicheng dengan mata yang terbeliak dan wajah tidak percaya.

Li Jianqian yang berdiri di belakang Su Qianci terkejut melihat lelaki yang sering dilihatnya dalam gambar itu tiba-tiba muncul. Mata Li Mosen terbeliak dan dia memandang Li Jianyue yang didukung oleh ayahnya dengan cemburu.

Su Qianci ketawa melihat Li Sicheng masuk sambil mendukung anak mereka. Dia tunduk memandang Li Jianqian dan berkata, "Sebut Papa."

Li Jianqian mengetap bibirnya dan merenung tajam Li Sicheng dengan pandangan yang berbaur kemarahan yang terpendam. Namun Li Sicheng tiada masa untuk itu. Qin Shuhua menghampiri anak lelakinya itu dan menyentuhnya dengan tangannya yang sudah tua. Sebaik menyentuh Li Sicheng, matanya terus bergenang. "Kamu dah kembali. Kamu masih hidup!"

Semua orang menyangka anak lelakinya itu sudah mati dan mengatakan Su Qianci gila kerana percaya Li Sicheng masih hidup. Tetapi sekarang, apabila melihat Li Sicheng berdiri di hadapannya, perasaan Qin Shuhua sangat bercelaru sehingga dia tidak mampu berkata-kata.