webnovel

Saya akan Berikan Segalanya yang Kamu Mahu

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Pada jam 1.00 pagi, tiba-tiba loceng kecemasan hospital berbunyi. Semua doktor dan jururawat yang bekerja giliran malam terkejut dan bergegas keluar.

"Pesakit di bilik V8 telah menghilangkan diri. Semua orang pergi cari dia!"

"Pesakit di bilik V8 telah hilang. Dia ada keinginan kuat untuk membunuh diri, jadi semua orang ambil perhatian!"

Ou Ming berlari dari satu bilik ke satu bilik mencari sesuatu. Akhirnya dia menarik seorang jururawat dan bertanya dengan kuat, "Mana bilik pengawasan? Mana bilik pengawasan!"

Jururawat itu terkejut dan segera memberitahu lokasi bilik pengawasan. Ou Ming melepaskan jururawat itu dan terus berlari. Namun belum sempat tiba di bilik itu, dia tiba-tiba terfikirkan satu tempat.

Ou Ming menekan butang lif dan naik ke tingkat 13.

-

Angin amat kuat pada malam ini. Seluruh tubuh Yu Lili menggeletar. Pagar di atas atap itu agak tinggi. Selepas menarik beberapa benda dan meletakkannya sebagai tangga, akhirnya ia mencapai ketinggian pagar itu. Yu Lili memijak tangga itu dan mengangkat kakinya untuk naik ke atas pagar. 

Tetapi belum sempat kakinya dinaikkan, dia mendengar suara yang amat berang di belakangnya, "Yu!"

Yu Lili amat terkejut dan ketakutan. Tubuhnya yang lemah terus terjelupuk jatuh. Lantai atap itu sangat keras, jadi tubuhnya amat sakit. Yu Lili menangis dan hilang seluruh keupayannya.

Ou Ming terkejut dan segera berlari untuk mengangkatnya. Dia semakin tidak keruan apabila melihat tubuh Yu Lili menggigil dengan sangat teruk lalu memarahinya, "Kamu memang gila, Yu Lili! Kamu tak pandaikah pakai pakaian hangat pada hari yang sejuk begini?!"

Ketika mengatakannya, dia telah menanggalkan kotnya dan memakaikannya kepada Yu Lili. Yu Lili berasa hangat dan membuka matanya dengan lemah. Keadaan di situ amat gelap dan cahaya telah dihalang oleh pagar yang tinggi. Malah pandangannya amat kabur sehingga tidak dapat melihat riak wajah Ou Ming. Namun kata-kata Ou Ming dapat didengarinya dengan jelas.

Yu Lili tersenyum kecil dan air matanya terus mengalir. "Ou Ming, biarkan saya mati, tolonglah. Saya rayu kamu biarkan saya mati. Kenapa kamu selamatkan saya? Kenapa tak biarkan saya mati…" Yu Lili merayu dengan suaranya yang lemah.

Hati Ou Ming terasa amat pedih mendengar kata-kata itu. Akhirnya dia turut menangis.

Yu Lili tidak menyedari perkara itu. Dia terus menangis dengan kepala ditundukkan dan merayu, "Jangan campur urusan saya, Ou Ming, saya merayu… Saya dah tak ada apa-apa, bukankah saya layak untuk mati?"

"Siapa kata kamu tak ada apa-apa," Ou Ming berkata dengan suara bercampur tangis dan memeluk Yu Lili. "Saya akan berikan segalanya yang kamu mahu."

Mendengar perkara itu, Yu Lili berhenti menangis. Ou Ming memeluknya dan memegang kepala Yu Lili pada dadanya. "Tak kira apa berlaku, kamu tak boleh mati." Ou Ming mengusap rambut Yu Lili. "Kamu perlu hidup dengan baik supaya semua perkara ada harapan, bukan begitu? Kamu dah lupa apa kamu beritahu saya?"

Yu Lili dapat merasakannya. Ketika Ou Ming berkata-kata, dadanya turut bergetar perlahan. Suaranya seakan bergema ke dalam telinga Yu Lili.

"Kenapa kamu tak boleh hidup sekarang disebabkan kamu jalani hidup yang buruk sebelum ini? Adakah kamu berpura-pura?"