webnovel

Salah Seorang Kawan

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Cheng You tidak berkata apa-apa lagi. Wajah Rong Panpan kemerahan dan dia menangis sambil tangan dan kaki kecilnya bergerak-gerak dengan tidak gembira. Rong Rui meletakkan puting botol ke mulut anaknya itu dan menghantarnya kepada Cheng You. "Pergi kepada Mama." 

Cheng You mengambil alih dan Rong Panpan terus berhenti menangis. Bayi kecil itu memandang Cheng You dan mengebilkan matanya yang sama seperti mata Rong Rui. Hati Cheng You menjadi cair. Dia tersenyum lembut dan mengetuk lembut hidung anaknya dengan satu jari.

"Li Sicheng tak ada di pejabat?" tanya Rong Rui.

"Ya, dia pergi ke ibu kota." Cheng You bangun sambil mendukung anaknya dan menyambung, "Saya rasa dia sedang bantu Ou Ming. Tapi saya tak pasti tentang apa. Apa pun, tak ada banyak urusan di syarikat beberapa hari ini. Saya boleh santai-santai sahaja."

"Okey."

*****

Yu Lili tidur sehingga tengah hari. Perutnya berkeroncong tetapi dia tetap tidak mahu bangun. Walau bagaimanapun, tiba-tiba dia mendengar satu suara yang dikenalinya sayup-sayup kedengaran. Ia suara lembut seorang wanita. Yu Lili membuka mata dan mencari arah suara itu. Selepas melihat sekilas pandang, dia terus bangun dengan terkejut.

"Qianqian?"

Mendengar suara itu, Su Qianci berpaling dan memandang Yu Lili sambil tersenyum. Matanya tertancap kepada rambut Yu Lili. "Kamu potong rambut? Cantik rambut pendek kamu."

Yu Lili menyentuh rambut pendeknya yang kusut masai lalu mengambil sikat. Sambil menyikat rambut, dia melihat Li Sicheng dan Ou Ming yang sedang duduk di sofa sambil berbual. Su Qianci menghampirinya dan berkata, "Bagaimana keadaan kamu sekarang? Masih tak sihat?" Yu Lili memandang Su Qianci dengan perasaan terharu. Ini kali pertama dia mendengar pertanyaan tentang dirinya selepas diperlakukan dengan buruk oleh Ou Ming sepanjang masa. Mustahil jika hatinya tidak tersentuh. Yu Lili tidak menyedari Su Qianci ialah seorang yang baik selama ini.

Matanya kemerahan dan dia menyedut hingus sambil menggeleng. "Tidak…"

Su Qianci melihat mata Yu Lili yang bertukar kemerahan dan tersenyum. Dia kelihatan berasa simpati dan berkata, "Kalau kamu dah sihat, mari kemaskan barang kamu dan keluar dari hospital. Kamu mesti rasa tak seronok duduk lama di sini. Kalau dah tak ada apa-apa yang serius, tak perlu tinggal di hospital." 

"Saya boleh keluar dari hospital?" tanya Yu Lili dengan mata bersinar.

"Dah tentu," jawab Su Qianci lalu mengambil beg kertas di belakangnya. "Saya belikan kamu baju. Pakailah, selepas ini kita pergi makan di luar."

"Yay!" Yu Lili teruja dan terus masuk ke bilik air bersama beg kertas itu. Sudah beberapa hari dia tidak mandi dan dia tidak pasti sama ada ia hanya ilusinya atau dia benar-benar busuk. Selesai mandi, dia memakai pakaian yang dibelikan oleh Su Qianci. Su Qianci telah membelikannya sepersalinan lengkap dari seluar dalam sehingga kot, tetapi... semuanya agak besar dengannya. Yu Lili melihat saiz pada pakaian-pakaian itu dan mendapati semuanya ialah saiz paling kecil. 

Yu Lili tetap memakai kesemuanya dan menyarung kot sebelum keluar dari bilik air itu. Sebaik sahaja dia keluar, semua yang berada di dalam wad itu memandangnya. Ou Ming merasakan hatinya pedih.

Hanya dalam masa beberapa hari, Yu Lili sudah bertambah kurus.

Di bawah rambut pendeknya itu, wajah Yu Lili hanya sebesar tapak tangan. Malah lingkaran gelap jelas kelihatan di bawah matanya. Wajahnya pucat dan kekuningan seakan tiada langsung darah yang mengalir.