webnovel

Teriakan yang tidak dijangka itu membuatkan semua orang terkejut. Dahulu, apabila ayahnya menyuruh Li Sicheng melutut, dia tidak melakukannya. Ketika itu dia berdiri tegak dan berkata dengan nada tegas yang dia tidak bersalah. Kali ini…

Wajah Li Sicheng luar biasa tenangnya. Dia menolak isterinya perlahan lalu membengkokkan kakinya dan melutut, "Maaf Ayah, saya bersalah."

Sebaik melihat anaknya itu mengakui kesalahan, nafas Li Xiao menderu kencang. Dia merenung tajam anaknya dengan mata yang kemerahan. "Beixing! Pergi ambil rotan Ayah!"

"Tak perlu!" Satu suara kedengaran. Kapten Li berjalan masuk ke ruang tamu itu bersama tongkatnya. Dia merenung Li Sicheng dan memukul cucunya itu dua kali. "Aku baru saja pukul budak tak guna ini berpuluh kali sehingga tangan aku sakit. Kau nak bunuh dia?"

Li Xiao segera memimpin lengan ayahnya tanpa berkata apa-apa. Li Beixing menjeling sekilas dan berpura-pura tidak mendengar apa-apa. Li Xiao menyedut hingusnya dan berkata, "Ke mana kamu pergi selama beberapa tahun?"

Li Sicheng terdiam seketika sebelum mendongak ke arah ayahnya dan bertanya, "Ayah, boleh saya bangun untuk ceritakan kepada ayah? Anak saya ada di dalam bilik. Tak bagus kalau dia lihat saya dalam keadaan begini."

Li Xiao hampir berasa geli hati dan cuba untuk tidak menendang anaknya itu. Li Sicheng segera bangun.

Su Qianci risau suaminya akan terjatuh lalu segera memegang lengannya dan memanggil, "Ayah…"

Li Xiao kelihatan sebak apabila melihat keadaan anaknya yang agak lemah tetapi tidak berkata apa-apa. Dia berjalan ke sofa lalu duduk sebelum bertanya, "Ayah dengar api sangat marak ketika itu. Bagaimana kamu berjaya lepaskan diri?" Lebih-lebih lagi, setahunya Li Sicheng sudah nyawa-nyawa ikan ketika itu dengan kecederaan yang serius dan tidak dapat bergerak. Bagaimana dia boleh larikan diri? Bukan sahaja Li Xiao, malah semua orang ingin tahu dan menanti penjelasan Li Sicheng.

Li Sicheng turut berjalan ke sofa dan duduk berhadapan ayahnya. Li Beixing dan Li Jinnan masing-masing duduk di sebelah Li Xiao. Su Qianci dan Li Sicheng duduk di sebelah Kapten Li. Kesemua mereka duduk berhadapan dengan satu sama lain.

Luo Zhan duduk di satu kerusi sambil menghirup teh. Dia berasa agak kecewa apabila melihat Li Sicheng tidak dirotan.

"Saya diselamatkan oleh Tang Mengying."

Ayat pertama itu membuatkan semua orang terkejut. Terutama sekali Su Qianci yang terus menggenggam tangan suaminya.

Li Sicheng membalas genggaman itu dan berkata perlahan, "Tang Mengying larikan diri dahulu, kemudian kembali bersama Bo Xiao. Bo Xiao tembak polis yang menjaga saya, kemudian mereka angkat saya keluar. Rong Anna alihkan perhatian pegawai polis yang kejar mereka sebelum kembali. Saya ditolak masuk ke dalam sebuah trak. Selepas itu mereka hantar saya ke sebuah hospital kecil. Saya koma selama seminggu di hospital itu dan kemudian hanya terbaring di atas katil hospital selama lebih enam bulan." 

Penceritaan yang ringkas itu sungguh menggerunkan dan membuatkan semua orang terdiam. Liu Sao dan Qin Shuhua pada mulanya sedang sibuk di dapur. Qin Shuhua keluar bersama buah-buahan yang dipotong dan mendengar cerita Li Sicheng. Air matanya terus gugur. Dia meletakkan buah-buahan itu di atas meja lalu duduk di sebelah suaminya dengan mata yang kemerahan.

Keadaan Su Qianci sama seperti ibu mentuanya itu. Dia memegang tangan Li Sicheng dengan lebih erat.

"Apabila saya dah mampu bergerak, mereka hantar orang-orang mereka untuk kurung saya. Saya dikurung dalam penjara selama setahun lebih. Di situ saya jumpa seseorang yang sudah lama menyamar sebagai orang gaji dalam keluarga Tang. Nama dia Jing Sao."

Next chapter