webnovel

Kamu Kembali Bersama Ou Ming?

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Yu Lili berasa loya dan ingin muntah. Kepalanya juga amat pening dan semua benda di sekelilingnya seakan berputar dalam kegelapan. Akhirnya dia jatuh ke atas sofa.

Akhirnya saya dapat bebas. Saya sangat letih dan sangat mengantuk.

Sudah lama saya tak berehat dengan cukup bagi meneruskan hidup.

Sekarang, akhirnya saya dapat tidur dengan cukup.

Yu Lili terbaring di sofa dengan mata yang semakin hampir tertutup. Kesedihan menyelubungi hatinya.

Saya tiada kawan atau keluarga.

Dia menjangkakan orang pertama yang akan menemui mayatnya ialah isteri tuan rumah yang tinggal di sebelah rumahnya. Suatu hari nanti mungkin seseorang akan teringat tentangnya dan bertanya: 'Hei, mana Yu Lili?' Apabila mereka mendapat tahu dia telah mati, apa agaknya reaksi mereka? Kasihan? Simpati? Atau hanya mendengarnya tanpa sebarang perasaan.

Namun apa yang pasti, kehilangannya tidak akan membawa kesedihan ataupun kejutan kepada sesiapa. Kewujudannya tidak pernah diperlukan. Dia kini sendirian di sini menikmati nafas-nafas terakhirnya. Keadaan dirinya sekarang sesuai dengan nama yang diberikan oleh pengetuanya iaitu Yu Lili (Yu mempunyai sebutan yang sama seperti saki-baki dalam bahasa Cina).

Yu Lili cuba memusingkan tubuhnya dengan sedikit kekuatan yang masih ada. Dalam keadaan terbaring di sofa itu, dia mengambil telefon bimbitnya dan membuka WeChat. Ramai orang telah membuat tanda suka dan meninggalkan komen pada gambar-gambarnya. Kebanyakan mereka ialah bekas rakan sekolah dan bekas rakan sekerjanya. Yu Lili membaca komen-komen mereka. Beberapa orang mengatakan dia semakin cantik dan beberapa orang lagi berasa simpati dengan rambutnya.

Yu Lili tersenyum kecil dan membalas komen mereka dengan emoji ketawa.

Tiba-tiba satu komen baru muncul. Ia datang daripada Lu Yihan.

[Lu Yihan] : Kamu kembali bersama Ou Ming?

Kembali?

[Yu Lili] : Tidak

[Lu Yihan]: Tengok di belakang kamu dalam gambar. Rahsia kamu dah terbongkar~

Yu Lili kebingungan dan melihat gambar yang dimuat naiknya. Di belakangnya, kelihatan satu susuk tubuh yang dikenalinya.

Gambar itu tertumpu kepada wajah Yu Lili dan lelaki di belakangnya hanya sedikit kelihatan. Lelaki itu duduk di meja di belakang meja Yu Lili. Di dalam gambar itu, Ou Ming sedang memandang ke hadapan dan matanya tertumpu ke arah kamera.

Yu Lili tersentak dan dia membesarkan gambar itu sehingga tahap maksimum. Dia yakin itu ialah Ou Ming! Tetapi bila lelaki itu duduk di belakangnya? Dia langsung… tidak sedar. Rupa-rupanya dia sangat hampir dengan lelaki itu hari ini. Bagusnya.

Kepalanya semakin pening dan matanya semakin kabur sehingga tidak mampu lagi melihat skrin telefonnya dengan jelas. Yu Lili menarik nafas panjang, tetapi hanya dapat menghidu bau gas yang kuat. Dia merenung lelaki di dalam gambarnya itu dan mengerahkan seluruh kekuatannya yang tersisa untuk senyum. "Selamat tinggal, Ou."

*****

Ou Ming sangat sibuk pada hari ini. Dia mengajak klien luar negaranya ke sebuah restoran terkemuka untuk makan tengah hari. Namun siapa sangka dia akan bertemu seseorang yang tidak disangka-sangka. Yu Lili. Wanita itu telah memotong rambutnya pendek sehingga paras telinga. Ou Ming yang duduk di meja belakang Yu Lili memerhatikan wanita itu mengambil swafoto dan kadang kala akan membuat muncung itik atau tanda V. Menjengkelkan.

Wanita itu masih tidak mahir berswafoto sejak dahulu. Nampaknya moodnya sedang baik. Entah apa yang berlaku semalam yang menyebabkannya memotong rambut.

Ou Ming berpaling ke arah lain dan berkata sinis, "Dia langsung tak risau atau sedih."

Sudah tentulah. Mana mungkin perempuan yang membunuh anak kembarnya sendiri akan mempunyai perasaan malu?