webnovel

Janin Ini Mungkin akan Cacat

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Walau bagaimanapun, Yu Lili tidak dapat menghalang pemaksaan Ou Ming. Dia mencari cadar dan mengemaskan katil. Katil itu amat bersih dan jelas menunjukkan ada seseorang yang menguruskannya. Vila ini tidak kosong selama empat tahun dia tiada.

Hati Yu Lili berasa tidak senang, tetapi dia cuba memikirkannya dari sudut lain… Dia tiada hak untuk mengambil tahu sama ada Ou Ming telah mempunyai ramai kekasih lain atau mempunyai tunang. Dia hanya salah seorang kekasih Ou Ming, tidak lebih dari itu.

Selepas Yu Lili beredar, Ou Ming berpaling dan merenung ke dalam bilik tidur utama itu dengan riak wajah yang tidak gembira. Dia mengeluarkan telefon bimbit dan menghubungi orang gajinya yang sudah pulang ke rumah.

Panggilan itu segera dijawab. "Tuan Muda Ou."

"Bukankah saya dah suruh kamu tukar semua di dalam bilik saya? Kenapa kamu masih tak tukar?"

"Oh…" Kak Zhou menjawab dengan gementar, "Cik Shen tak benarkan saya tukar. Orang-orang yang berpindah datang beberapa hari lepas, tapi Cik Shen halau mereka pergi. Tak ada apa-apa yang boleh saya lakukan, Tuan Muda Ou…"

Ou Ming bertambah marah dan berkata, "Dia fikir dia siapa? Dia hanya tinggal di sini selama dua bulan dan dah buat rumah saya jadi begini!"

Mendengar suara Ou Ming yang jelas amat marah, Kak Zhou tidak berani berkata apa-apa.

"Datang ke sini sekarang dan tukar semuanya!"

"Baik Tuan…"

Selepas menamatkan panggilan, Ou Ming berjalan masuk ke dalam biliknya. Dia pergi ke bilik pakaian dan mendapati ia dipenuhi pakaian wanita yang cantik dan hanya beberapa pasang pakaiannya. Ou Ming mengetap giginya dengan amat marah.

Jijik!

Ou Ming berpaling dan menutup pintu itu dengan kuat. Apabila dia tiba di hadapan bilik Yu Lili, telefonnya berdering. Dia berhenti di hadapan pintu dan menjawab panggilan itu. Ia panggilan daripada Xu Cheng. 

"Encik Ou, saya dah dapat maklumat tentang Dr. Jin Baihe."

Ou Ming segera berpaling dan beredar dari situ lalu bertanya dengan dingin, "Jadi bagaimana?"

"Dr. Jin dah bersara tahun lepas dan sekarang menjadi pensyarah di kolej perubatan, jadi ambil masa yang agak lama untuk jumpa dia. Dalam empat tahun lalu, Cik Yu berjumpa dia di Jabatan Obstetrik dan Ginaekologi. Saya jumpa fail tentang pertemuan itu dan dah hantar kepada Bos melalui WeChat."

"Baik." Ou Ming menamatkan panggilan dan membuka WeChat. Dia memuat turun dokumen yang dihantar oleh Xu Cheng dan membaca 10 baris ayat itu dengan sekali imbas. Yu Lili telah bertemu dengan Dr Jin sebanyak dua kali. Kali pertama untuk mengesahkan kehamilannya dan kali kedua untuk berbincang dengan doktor dan memeriksa keadaan janin.

[Janin ini mungkin akan cacat atau mengalami kurang upaya dari segi kecerdasan kerana ibunya mengambil terlalu banyak pil perancang kehamilan, jadi saya tidak sarankan dia untuk melahirkan anak ini…]

Sebaik membaca ayat itu, Ou Ming terkejut seakan disambar petir.

Cacat? Kurang upaya dari segi kecerdasan? Apa maksudnya?

Ou Ming memeriksa dokumen itu kerana bimbang dia mungkin tersilap. Walau bagaimanapun, setelah berkali-kali memeriksa, ternyata dokumen itu bukan palsu. Dia memegang telefon bimbitnya dengan perasaan yang bercelaru.

Janin ini mungkin akan cacat atau mengalami kurang upaya dari segi kecerdasan kerana ibunya mengambil terlalu banyak pil perancang kehamilan.

Jadi, apa maksudnya? Adakah ini sebabnya Yu Lili membiarkan kandungannya gugur?

[Lili seorang yang baik, pasti ada sebab dia menggugurkan kandungan! Tiada ibu dalam dunia ini yang akan membunuh anaknya sendiri!] Kata-kata Su Qianci kembali bergema di dalam kepalanya dan jantungnya berdegup semakin kencang…

Next chapter