webnovel

Sebaik mendengar pertanyaan itu, Ou Ming merasakan seperti dia mendengar sesuatu yang kelakar. Dia memandang Yu Lili dan senyumannya bertambah lebar. Kemudian dia menanggalkan jaketnya dan berkata dengan nada acuh tidak acuh, "Kalau tak silap saya, benda yang dipanggil cemburu itu akan membuatkan seseorang tidak gembira, marah, tidak senang, malah jengkel dan marah apabila orang kesayangannya bertemu seseorang yang berlainan jantina." 

Cemburu ialah cemburu, tetapi apabila Ou Ming menyebutnya, Yu Lili merasakan perkataan itu telah bertambah teruk dan keterlaluan. Yu Lili terkaku seketika. Ou Ming menyambung, "Dan kamu ingat kamu orang kesayangan saya?"

Secara jelasnya, saya bukan.

Pada asalnya Yu Lili hanya mahu mendiamkan Ou Ming, tetapi tidak menyangka Ou Ming akan memberi reaksi sebegitu. Tiba-tiba dia berasa malu.

Saya ingat dia yang akan terdiam. Tetapi rupa-rupanya cara dia lebih kejam daripada apa yang saya bayangkan.

Ou Ming memandang Yu Lili sambil tersenyum sinis dan mengangkat sedikit keningnya. "Kamu hanya kekasih saya." Dia diam seketika sebelum menyambung, "Saya boleh ada ramai kekasih, tapi hanya seorang orang kesayangan."

Hati Yu Lili terasa pedih. Kekasih, orang kesayangan. Seakan sama, tetapi sebenarnya jauh berbeza. Seseorang yang dibayar dengan wang ialah kekasih. Seseorang yang dibayar dengan hati yang ikhlas ialah orang kesayangan. Yu Lili tidak pernah menjangkakannya, tetapi kata-kata Ou Ming sangat tajam sehingga dia berasa sakit, seolah-olah Ou Ming telah menikam hatinya.

"Oh… ahah…" Yu Lili memandang Ou Ming dengan acuh tidak acuh dan berkata, "Saya dah tahu itu, saya cuma bergurau… Tapi kamu begitu serius, saya mungkin akan ingat kamu sembunyikannya, Encik Ou."

Ou Ming tersenyum dan berkata, "Lebih baik berterus-terang untuk menghentikan khayalan kamu, kalau tidak kamu akan sentiasa cari sesuatu yang bukan milik kamu."

Riak wajah Yu Lili semakin teruk.

Ou Ming berpura-pura tidak menyedarinya dan melihat sekeliling bilik. "Kemaskan barang-barang kamu. Kita akan balik ke Kingstown petang ini," kata Ou Ming lalu bangun dan masuk ke dalam bilik air.

Yu Lili memerhatikan susuk tubuh Ou Ming dengan wajah yang agak pucat. Dia melihat buku nota di tangannya, kemudian duduk di atas katil dan membelek buku nota itu dengan teliti. Buku nota itu dibeli ketika dia berada di Kingstown. Dia tidak dapat menahan diri daripada membelinya kerana kulit buku itu yang amat cantik. 

Sekeping kad nama diletakkan di muka surat terakhir. Dr Jin Baihe, Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Pertama Kingstown.

Di bawah kad nama itu, Yu Lili telah menulis: 'Maaf, saya tak dapat lahirkan kamu.' Sebaik melihat tulisan itu, Yu Lili berasa sebak dan segera menutup buku itu sebelum menyumbatnya ke dalam kotak.

Ou Ming yang berada di dalam bilik air sedang memegang telefon bimbitnya sambil bersandar pada pembahagi kaca. Dia merenung gambar kad nama yang berada di dalam telefonnya dan berfikir buat masa yang agak lama. Kemudian dia membuka WeChat dan menghantar gambar itu kepada Xu Cheng dan menaip 'Yu Lili'. 

Xu Cheng segera faham dan membalas, "Okey, saya akan siasat sekarang."

Selepas menerima mesej balas Xu Cheng, Ou Ming membasuh mukanya dan keluar dari bilik air itu.

Next chapter