webnovel

Yu Lili menghulurkan tangan untuk mengambil gula-gula itu, tetapi Ou Ming melarikan tangannya. Yu Lili memandangnya dengan perasaan jengkel. Ou Ming menghulurkan segelas air tanpa berkata apa-apa dan menjeling ubat di tangan Yu Lili. Maksudnya amat jelas.

Yu Lili yang memahami maksudnya mengambil air itu dengan keberatan. Dia menelan ubat dan segera meneguk air, kemudian melihat Ou Ming sudah membuka balutan gula-gula susu.

Yu Lili terkejut lalu segera merampas gula-gula itu, membuka balutan selebihnya dan terus menyuap gula-gula itu ke dalam mulutnya. Riak wajah Ou Ming bertukar lembut tanpa disedarinya sendiri. Kemudian Ou Ming mengambil kotnya dan terus berjalan keluar.

Tiba-tiba seorang jururawat masuk ke wad itu dan menjaga Yu Lili.

Ou Ming perlu pergi. Jadi dia hantar seseorang untuk menjaga saya?

Yu Lili memuncungkan bibirnya. Dia berasa bosan dan kembali menonton TV, tetapi tiada rancangan yang menarik mintanya. Dia melihat sekeliling dan pandangannya tertancap kepada laptop Ou Ming.

Yu Lili meminta bantuan jururawat yang menjaganya untuk mengambil laptop itu dan meletakkannya di atas meja yang digunakannya untuk makan. Walau bagaimanapun, laptop itu mempunyai kata laluan.

Kata laluan laptop Ou Ming… Pasti tidak sama seperti sebelum ini.

Yu Lili mengerutkan dahi dan menaip nombor telefon Ou Ming.

Salah.

Dia menaip tarikh lahir Ou Ming.

Salah.

Ouming.

Salah.

Ou Ming tidak suka menukar kata laluan. Ia adalah perkara penting untuknya. Tetapi, semua yang ditaipnya tadi salah. Adakah… Ou Ming telah menukar kata laluan baru? Sejak beberapa tahun lalu, adakah perkara lain yang sentiasa diingatinya? 

Yu Lili berfikir seketika, kemudian menaip kata laluan Ou Ming yang lama. Berjaya. Yu Lili terkejut dan memandang laptop itu dengan terkedu.

Kata laluan lama yang digunakan Ou Ming itu ialah hari jadinya.

Ou Ming masih… menggunakan kata laluan ini. Kenapa?

Degupan jantungnya menjadi laju. Fikiran Yu Lili semakin bercelaru. Dia memandang dokumen dan data di skrin laptop itu dan juga halaman e-mel yang terbuka.

Namun tiba-tiba dia ternampak tajuk salah satu e-mel: Pelan Pengambil Alihan Syarikat Capital Rende Technologies

Capital Rende… Bukankah itu syarikat Li De? Kenapa Ou Ming mahu mengambil alih syarikat yang kecil itu? Saya sendiri juga langsung tidak berminat dengan syarikat seperti itu, apatah lagi Ou Ming.

Jika bukan disebabkan tawaran gaji yang tinggi, Yu Lili tidak akan pernah bekerja di situ.

Adakah Ou Ming benar-benar mahu memiliki syarikat sekecil itu? Kenapa? Adakah dia ada terlalu banyak wang sehingga membeli syarikat untuk dijadikan permainan?

Yu Lili menekan e-mel itu dan melihat satu dokumen yang sudah dimuat turun oleh Ou Ming. Dia membuka dokumen itu dan melihat penilaian serta kos operasi syarikat itu lebih rendah daripada apa yang diketahuinya. Jauh lebih rendah!

Walaupun syarikat Li De tidak besar, bukankah nilai ini terlalu rendah? Tambahan pula, Li De amat berbangga dengan syarikatnya, jadi tidak mungkin dia akan menjualnya dengan mudah. Adakah Li De… muflis?

Jantung Yu Lili berdegup kencang. Semakin lama dia melihat dokumen itu, dia berasa semakin takut. Tiba-tiba dia menyedari Ou Ming masuk dan terkejut lalu segera menutup dokumen itu dan menekan butang 'tidur'. Apabila Ou Ming mendekatinya, dia berpura-pura baru membuka laptop itu dan memasukkan kata laluan.

Ou Ming mengecilkan matanya apabila melihat Yu Lili menggunakan laptopnya. "Apa yang kamu buat?"