webnovel

Dia Berasa Rendah Diri

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Ou Ming merasakan dirinya bodoh dan cuba berpaling dari Yu Lili. Namun ketika sedang berbual dengan klien luar negaranya, dia tidak dapat menahan dirinya daripada mencuri pandang. Yu Lili kelihatan sedang gembira malah memuat naik beberapa gambar di WeChatnya. Ini adalah sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh wanita itu sebelum ini.

Dia pernah bertanya kepadanya: [Kenapa kamu tak suka ambil swafoto atau muat naik gambar? Perempuan lain sukakannya.]

Yu Lili membuat wajah geli dan berkata: [Apa yang perlu diambil gambar? Saya bimbang kecantikan saya akan mengejutkan semua rakan-rakan saya. Apa perlu saya buat jika semua lelaki jatuh cinta kepada saya?]

Jawapan tidak tahu malu itu membuatkan Ou Ming tidak dapat menahan diri daripada mengejeknya. Namun selepas itu, Ou Ming mendapat tahu sebenarnya Yu Lili berasa rendah diri. Disebabkan menjadi perempuan simpanan, Yu Lili tidak mahu orang lain tahu apa yang telah diberikan oleh Ou Ming kepadanya. Jika sesiapa mendapat tahu kehidupan Yu Lili yang mewah, orang-orang yang membencinya pasti akan segera mengambil kesempatan dan menyebarkan perkara itu dengan kejam.

Contohnya: 'Yu Lili dijadikan perempuan simpanan oleh lelaki daripada keluarga kaya'

'Yu Lili menjual tubuhnya untuk membayar yuran pengajian'

'Yu Lili tidak tahu malu dan hidup mewah]

Khabar-khabar angin sebegitu membuatkan Yu Lili berasa amat tidak selesa. Dia kenal dirinya tidak kira dia mempunyai kehidupan yang baik atau tidak. Tiada keperluan untuk memberitahu orang lain tentang kehidupan kita dan membuatkan kita terpaksa menerima pandangan cemburu dan kata-kata buruk mereka. Itulah yang dibaca oleh Ou Ming di dalam diari Yu Lili.

Selepas melihat Yu Lili selesai makan, barulah fikiran Ou Ming kembali kepada kerja. Dia menyambung perbincangan tentang kontrak dengan tetamu luar negaranya. Selepas mereka selesai makan dan Ou Ming menghantar tetamunya itu pergi, dia menerima panggilan daripda Xu Cheng. 

Ou Ming bersandar pada tempat duduk pemandu di dalam kereta Ferrarinya. Dia berasa agak letih kerana minum alkohol terlalu banyak dan tidak dapat tidur pada malam semalam. Dia menjawab panggilan itu dan membuka pembesar suara lalu meletakkan telefonnya di tepi. 

"Encik Ou, ada sesuatu yang pelik dengan Cik Yu."

"Hm?" Ou Ming meletakkan tangan pada dahinya dan matanya dikecilkan.

"Dia habiskan semua wangnya, jual semua pakaian dan kasutnya, kemudian bayar hutangnya kepada Lu Yihan. Selepas itu dia pergi ke restoran terkenal yang Encik Ou baru pergi dan habiskan lebih 1000 yuan di situ. Encik Ou tahu, sebelum ini dia hanya makan mi segera setiap hari dan perbelanjaan hariannya kurang daripada 50 yuan…"

Sebaik mendengar kata-kata itu, Ou Ming duduk tegak dan matanya menjadi tajam. Kehidupan jenis apa yang perempuan itu lalui? Dia memperdaya ramai orang dan mendapat wang hanya semata-mata untuk bayar hutang? Hatinya terasa pedih dan wajahnya menjadi muram. Ou Ming memandu keretanya ke jalan raya dan bertanya, "Di mana dia sekarang?"

"Rumah," kata Xu Cheng kemudian menyambung dengan sedikit teragak-agak, "Saya dah periksa yang dia tiada sebarang deposit. Jadi saya jangkakan dia tiada satu sen wang pun sekarang. Dalam keadaan ini…"

Hati Ou Ming berdegup kencang secara tiba-tiba dan dia terus memekik, "Beri alamat dia kepada saya!"

"Baik."

"Perhatikan dia, kalau ada apa-apa yang berlaku, kamu mesti terus pecah masuk ke dalam rumahnya!"

"Saya…" Xu Cheng berkata dengan berhati-hati, "Saya di pejabat… dia balik ke rumah, jadi saya tak ikut… tapi selepas itu saya berfikir tentangnya dan berasa bersalah…"

"Bodoh!" Ou Ming tidak dapat menahan dirinya daripada memekik marah. Matanya berubah kemerahan. "Kau tak ada otakkah?"

Xu Cheng tidak berani berkata apa-apa lagi. Dia terus memberi alamat Yu Lili kepada Ou Ming sebelum segera menamatkan panggilan.