webnovel

Memasuki Dataran

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Oleh sebab itu, persekutuan ini dibentuk!"

George berkata dengan kuat.

"Kami telah berbincang dengan parti pengembaraan yang lain. Kami akan menukar posisi kami dengan mereka supaya Persekutuan Furze boleh menduduki beberapa kereta kuda yang berdekatan antara satu sama lain! Kami juga telah mendapat kebenaran daripada mereka berjubah hitam!"

"Selain itu, kita sebagai bangsawan lelaki akan bergilir-gilir menjadi pengawal untuk menjaga kereta kuda tersebut! Tetapi, kita kena ingat yang kita hanya membantu Satria berjubah hitam sahaja. Manakala untuk gadis-gadis cantik, tugas logistik dan pembersihan akan diserahkan kepada kamu!"

"Kamu semua tidak perlu risau tentang senjata. Kami telah membuat persediaan, malah telah mendapat satu busur silang!"

George memberitahu satu demi satu rancangannya.

Pemuda-pemuda persekutuan itu mula bercakap antara satu sama lain, dan setelah beberapa perbincangan, mereka semua bersetuju dengan rancangan ini.

"Baiklah, kami setuju!"

Manakala untuk jawatan ketua pengawal, ia sudah pasti milik George. Sementara semua masih bersemangat seperti api yang membara, George mengagihkan beberapa misi.

Jamuan itu telah bersambung kembali, walau bagaimanapun, kelihatan jelas sekali keghairahan semua orang telah lama hilang.

"Asalnya saya memang merancang nak bagi awak pedang salib ini, tetapi nampaknya tidak perlu lagi!"

George mengangkat cawannya sambil berjalan ke arah Leylin, menuding ke hulu pedang yang disisip di pingang Leylin.

"Betul ke setiap kali pasukan Magus memasuki Great Plains akan ada banyak kematian?" tanya Leylin.

"Ya, betul! Senario paling bagus sekali apabila satu atau dua orang yang mati, tetapi terdapat beberapa kes di mana sekurang-kurangnya sepuluh orang akan terkorban!" George mengangkat bahunya. "Kalau tak, apa gunanya saya membelanjakan duit dan mengunakan tenaga yang banyak untuk menubuhkan persekutuan yang akan dibubarkan sebaik sahaja kita sampai ke pantai?'

"Di mana sekali pun awak laburkan duit dan tenaga itu, pasti ada faedah yang awak akan dapat!" Leylin ketawa.

Tidak kira apa yang berlaku, jika semua bekerjasama, kebarangkalian untuk hidup itu akan meningkat. Semua pembantu paderi yang selamat mesti akan terhutang budi kepada George dan keluarganya. Asalkan walau seorang daripada pembantu-pembantu paderi ini menjadi Magus satu hari nanti, pulangannya pasti berlipat kali ganda.

Tetapi walaupun tiada yang akan selamat, ia bukan satu kerugian yang besar padanya juga, bukan?

"Selain daripada kebolehan bermain pedang awak, kebijaksanaan awak ini sangat mengagumkan!" Mata George berkelip-kelip. "Semua benda yang saya buat ini apa yang diberitahu oleh ayah saya."

"Jadi, awak sanggup tolong saya?" George menghulurkan tangannya.

"Apa sahaja yang awak mahukan!" Leylin ketawa sambil berjabat tangan dengan George.

...

Jawapan Leylin kepada permintaan George bukanlah sesuatu yang serta-merta. Tetapi, dia telah membuat keputusan selepas membuat timbang tara terhadap permintaan itu.

Ini juga mengenai segala bahaya yang tersembunyi di dataran itu, dia tidak mempunyai banyak maklumat tentangnya. Oleh itu, bersetuju untuk bekerjasama ialah cadangan yang paling baik.

Huuuuu

Angin yang sejuk turun bersinggah ke kumpulan itu dan mengelus wajah mereka seperti sebilah pisau. Leylin dapat mencium haruman rumput dengan setiap nafas yang disedut.

"Dah 15 hari sejak kita memasuki Great Plains of Death!"

Melihat kereta kuda di belakang, Leylin dapat melihat beberapa kesan kerosakan pada kereta-kereta kuda itu, menyebabkan dia bertukar sedikit suram.

Kesan-kesan di kereta kuda itu terbentuk daripada tiga garis yang berbeza bercantum menjadi satu seolah-olah menyerupai cakaran.

"Great Plains of Death ini mempunyai tahap bahaya di mana manusia biasa malah Satria Persediaan mempunyai masalah menghadapinya!"

Selepas memasuki dataran itu, walaupun tuan-tuan berjubah hitam dan putih telah menambah jumlah peronda yang ada dan semua pembantu paderi bersatu, masih terdapat beberapa orang yang terkorban.

Kesan-kesan cakaran di kereta kuda itu disebabkan kawanan canis dirus1. Sebaik sahaja mereka tiba di dataran itu, semua kereta kuda itu telah dikepung.

Walaupun tiada kematian yang berlaku lagi, kawanan canis dirus itu hampir berjaya menterbalik dan merosakkan kereta-kereta kuda itu, memberi Leylin tanggapan buruk terhadap mereka.

Sejak itu, pelajar-pelajar tidak berani untuk berkhemah di luar dan semua cuba untuk tidur di dalam kereta kuda! Walaupun begitu, tetap ada beberapa pengorbanan yang berlaku.

Muka Leylin bertambah kelam.

Walapun Satria berjubah hitam mengawal mereka, beberapa remaja tetap perlu keluar daripada gerabak untuk membuang air. Malangnya, di dalam Great Plains of Death yang penuh dengan bahaya ini, ia sangat berisiko dan bahaya.

Seorang remaja telah digigit oleh serangga beracun sebaik sahaja dia keluar daripada gerabak dan mati.

'Berdasarkan pengiraan Cip A.I., racun serangga itu akan menghakis otak dalam masa 13 saat sahaja. Masa tidak mencukupi untuk bantuan perubatan, malah beberapa Magus berjubah putih hanya mampu melihat remaja itu mati…'

Selepas insiden itu, pelajar hanya akan turun daripada gerabak apabila diperlukan sahaja. Walau bagaimanapun, kerana saiz gerabak yang kecil dan bilangan orang ramai di dalamnya, bau di dalam gerabak itu sangat tidak menyenangkan.

Sebagai ganjaran menolong Satria berjubah hitam memandu kereta kuda, Leylin telah mendapat peluang untuk mendapat udara segar.

Walaupun berada di luar gerabak kelihatan lebih bahaya, tetapi dengan kehadiran Satria berjubah hitam di sisinya, ia sebenarnya lebih selamat.

Bagaimana dengan kemahiran memandu kereta kuda? Leylin hanya perlu mendengar arahan Satria berjubah hitam itu sementara Cip A.I. merakam segala-galanya.

"Hari semakin gelap! Semua orang berkumpul di dalam kereta kuda untuk berehat!"

Kedengaran suara di bahagian hadapan, menyebabkan semua kereta kuda berhenti.

Bukan sahaja mengembara pada waktu malam bahaya, tetapi ini juga bermaksud kuda-kuda tidak mempunyai masa rehat yang cukup. Ini boleh mengundang pelbagai masalah dan juga boleh menyebabkan kematian mereka.

"Kemahiran memandu gerabak awak agak bagus!" Satria berjubah hitam itu memandang Leylin dan bercakap dengan lembut.

"Terima kasih!" Leylin mengangguk.

Kembali ke dalam gerabak, bau yang kuat dihidu oleh Leylin sebaik sahaja membuka pintu kereta kuda itu membuatkan kening Leylin berkerut. Apabila melihat wajah pelajar-pelajar di dalam gerabak itu, Leylin hanya mampu mengeluh.

Semenjak orang pertama terkoban, tiada seorang pun remaja yang mempunyai riak wajah yang gembira, sebaliknya suasana sedih menyelubungi setiap kereta kuda. Ini salah satu sebab mengapa Leylin tidak suka tinggal di dalam kereta kuda ini.

"Leylin, awak dah balik!" Seorang remaja berjerawat memaksa dirinya untuk tersenyum sambil menegurnya.

"Ya!" Leylin duduk dan melihat sekeliling sebelum mengambil sekeping roti untuk dimakan.

Dia merasakan seperti mengunyah pasir semasa memakan roti tersebut. Walaupun rasanya begitu, Leylin tetap berjaya menelan roti itu setelah bersusah payah mengunyahnya. Tetapi dengan berbuat begitu, dia berasa sakit tekak secara tiba-tiba, menyebabkan dia cepat-cepat mengeluarkan tabung air dan minum air dengan banyak. Selepas berjaya menghabiskan sekeping roti, dia mengeluh lega.

Selepas memasuki Great Plains of Death, bekalan sangat sukar didapati. Walaupun pelajar mempunyai beberapa duit emas, tiada pedagang di sekeliling kawsan itu. Oleh itu, segala duit emas yang ada tidak bernilai dalam situasi ini.

"Ley… Leylin, bagaimana situasi di luar? Berapa hari lagi kita akan keluar daripada dataran jahanam ini?"

Selepas Leylin selesai makan, pemuda berjerawat itu bertanya padanya.

Soalannya itu jelas sekali apa yang semua orang ingin tahu, dan ini menarik perhatian semua orang ke arah Leylin.

"Semasa memandu gerabak tadi, saya berbual dengan Satria berjubah hitam itu. Kita telah mengembara lebih dari separuh jarak dataran ini, kalau semua berjalan lancar, kita akan sampai ke kawasan pantai selepas setengah bulan lagi."

"Eh! Ya Tuhanku, setengah bulan lagi?! Selepas melalui beberapa hari yang teruk, saya tak tahan lagi tinggal di tempat ini walaupun satu hari lagi.

Remaja berjerawat itu mula menarik rambutnya sambil mengadu.

"Hey, bertenang, Kassa. Asalkan awak mampu bertahan lagi 15 hari ini, awak akan sampai ke pantai. Buah-buahan yang sedap, roti yang gebu, dan tidak lupa katil yang selesa dan air panas untuk mandi, semua itu akan menunggu awak!"

Walaupun pemuda itu cuba untuk menenangkan Kassa, kata-katanya seperti cuba untuk menenangkan dirinya lebih daripada Kassa.

Dong! Dong!

Bunyi yang berirama kedengaran sebaik sahaja pintu kereta kuda dibuka dan George muncul. Dengan perisai dan juga pedang panjang yang dibawanya, George kelihatan seperti seorang Satria yang kacak. "Hey, tuan-tuan! Puan-puan! Masa rehat dah tamat! Kalau kamu ingin merenggangkan diri, boleh keluar. Kalau tak nak, sila duduk di dalam, lagipun di luar agak bahaya…

Suasana di dalam gerabak itu menjadi gelisah, sebelum beberapa perempuan bermuka merah melihat antara satu sama lain dan keluar daripada gerabak itu.

Leylin mengangkat bahu dan mencapai pedang salibnya, "Mari!"

Sebagai salah seorang pengawal, dia perlu menjaga perempuan-perempuan ini. Walaupun apa yang dia boleh buat hanya mengekalkan pengawasan, dan meminta tolong daripada Satria berjubah hitam jika terdapat apa-apa masalah.

"Saya… Saya tak turun kali ini!" Kassa bersuara dari tepi sambil menggigil.

"Baiklah!" Leylin memberi isyarat kepada yang lain untuk mengikutnya keluar daripada gerabak.

Mendarat lembut di atas rumput, Leylin tidak dapat menahan dirinya daripada meregang dengan selesa di luar. Pemandangan yang cantik kelihatan dari jauh. Jika bukan kerana suasana berbahaya di sini, Leylin pasti akan menikmati pemandangan itu.

"Cantiknya!" George bersuara sambil melihat matahari yang terbenam.

"Ya, sangat cantik tapi juga sangat bahaya!" Leylin mengomel.

"Bahaya di mana-mana sahabatku! Penyakit, kebuluran, peperangan, dunia ini penuh dengan bahaya-bahaya seperti ini. Kepada kita, kawasan ini ialah ancaman kepada nyawa kita, tetapi kepada Magus berjubah hitam, ini hanya satu masalah kecil!" George menggenggam pedangnya.

"Adakah awak cuba nak cakap asalkan awak mempunyai kekuatan, awak boleh menjamin keselamatan dan kebebasan?"

"Tepat sekali! Awak tengok Kassa, dia dah hilang semangat. Dalam perjalanan mencapai kekuasaan ini, dia kekurangan semangat dan keyakinan untuk menghadapi bahaya. Katakan kalau dia berjaya tiba di akademi Magus, mustahil dia akan menjadi seorang Magus. Lagi-lagi, nak belajar kuasa ajaib 100 kali ganda lagi bahaya dan susah berbanding dataran ini!"

George membaling sebiji batu ke atas tanah. "Masa untuk kita menjaga khazanah cantik kita!"

Melihat George berlalu pergi, Leylin tersenyum. "Keberanian? Tetapi untuk menjadi seorang Magus, kebijaksanaan juga penting!"

'Cip A.I.! Mulakan imbasan!' Leylin berkata dalam hati.

Berikutan arahan itu, gambaran tiga dimensi dipaparkan dalam kepala Leylin, menunjukkan kawasan persekitaran.

Terdapat kelompok bintang putih di dalam imej geografi biru itu. Di mana bintang-bintang ini ialah pelajar. Tiada seorang pun di antara mereka yang kelihatan cedera.

Manakala untuk Satria berjubah hitam itu pula, kelihatan cahaya merah yang terang datang daripadanya. Selepas Cip A.I. menganalisis, ia telah mengenalpasti kewujudan Satria berbahaya untuk tuan badannya.

Terdapat Magus berjubah putih di kereta kuda belakang. Leylin tidak berani menggunakan kuasa Cip A.I. untuk melakukan imbasan kerana takut tenaganya dikesan dan akan mendatangkan masalah kepadanya.

Tidak lama selepas itu, segala sumber bahaya berdekatan muncul di dalam minda Leylin.

"Walaupun hanya serangga beracun, mereka tidak akan terlepas daripada imbasan Cip A.I.! Setakat ini, kawasan ini selamat!"

Ini satu jaminan yang Leylin mampu beri.

Walaupun dia salah seorang pengawal, dia tidak akan melakukan sesuatu yang meletakkan dirinya di dalam keadaan yang berbahaya.

Dengan bantuan Cip A.I., dia dapat melihat semua yang berlaku di dalam radius 20 meter, dan ini adalah jaminan yang bagus kepada keselamatan mereka.