webnovel

Latihan (Bahagian I)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Di laman belakang istana itu, ada sebuah kotej tunggal yang ditutupi papan lapis dan mempunyai dua jendela. Ada sebuah kolam di hadapan kotej itu yang berukuran kira-kira sembilan setengah ela lebar dan diisi dengan air sungai, jadi ia bukan sahaja kalis api tetapi juga boleh diubah suai. Di atas tanah yang mengelilinginya, ada beberapa jongkong besi yang ditimbunkan oleh Carter selepas mengambilnya daripada seorang tukang besi.

Roland memilih tempat ini untuk kotej itu kerana ia terletak berhampiran sebuah telaga, tetapi ia masih tidak cukup bagus untuk menjadi sebuah makmal. Dia menggelengkan kepalanya. Memang mustahil mahu membina makmal yang serba lengkap dalam masa sekelip mata. Dia perlu menyuruh Barov mengumpul semua bahan yang diperlukan agar dia boleh membina sebuah makmal yang sesuai.

"Bagaimana keadaan awak? Awak tidur lena semalam?"

Tanya Roland sambil menoleh ke belakang untuk memandang Anna, yang kelihatan bingung.

Ahli sihir di hadapannya sekarang cukup berbeza dengan ahli sihir yang dijumpainya semalam. Selepas dimandikan, rambutnya yang berwarna putih kuning mengurai panjang melepasi bahunya ibarat sehelai selendang dan kelihatan begitu lembut sekali. Kulitnya nampak segar berseri dan jeragat halus yang bertaburan di atas hidungnya membuatkan dia kelihatan comel. Tubuhnya masih kurus keding dan seperti boleh melayang ditiup angin, tetapi pipinya nampak kemerah-merahan dan kesan lebam-lebam di badan serta lehernya juga sudah hilang. Roland membuat andaian kuasa sakti bukan sahaja memberi tenaga luar biasa kepada ahli sihir, tetapi ia juga membantu memulihkan kesihatan mereka. Anna pulih jauh lebih pantas berbanding manusia biasa.

"Sudah banyak yang awak hadapi, jadi awak sepatutnya berehat selama beberapa hari. Tapi kita ada banyak kerja untuk dibuat, jadi saya akan benarkan awak berehat kemudian." Roland berjalan mengelilingi gadis itu. "Baju awak padan?"

Pakaian Anna dipilih mengikut citarasa Putera Roland yang sukakan baju mencolok mata. Baju yang dipakai pekerja lombong bijih besi untuk melindungi diri mereka terlalu tebal dan tidak sesuai untuk Anna, manakala jubah panjang-panjang yang dipakai dukun-dukun seperti dalam permainan digital pula akan mengekang pergerakannya dan ia senang terbakar. Jadi apa lagi pakaian yang lebih sesuai untuk seorang pembantu melainkan baju ini?

Dunia zaman ini tidak mempunyai baju seragam pembantu rumah yang moden, tetapi itu tidak menjadi masalah kerana baju pembantu rumah yang ada pada zaman ini mirip dengan zaman akan datang. Jadi dia hanya mengambil sepersalinan baju pembantu rumah daripada Tyre dan memotongkannya mengikut saiz badan Anna. Dia memendekkan skirtnya, memotong lengan baju, melipat kolarnya ke dalam dan menambah sebuah reben, lalu terhasillah baju seragam ahli sihir yang baru.

Baju itu dilengkapkan lagi dengan sebuah topi ahli sihir (dibuat khas), kasut but hitam (sudah sedia ada), serta sehelai mantel yang tergantung panjang hingga ke lutut (dijahit), dan Roland mendapati dia sedang melihat watak yang dia pernah tonton dalam filem-filem sebelum ini.

"Tuanku… Apa yang saya boleh buat untuk tuanku?" tanya Anna.

Anna langsung tidak faham kerenah lelaki di hadapannya ini, dan dia rasa seperti dia semakin hilang daya pertimbangannya. Pada hari dia diheret keluar penjara dengan sebuah karung membaluti kepalanya, dia menyangka tidak lama lagi, dia akan dibebaskan daripada dunia yang penuh kejam ini. Tetapi apabila karung itu dibuka, dia mendapati dia bukan berada di hadapan tali gantung atau pedang pemenggal kepala, tetapi sebaliknya dia berada di dalam sebuah kamar mewah. Kemudian sekumpulan orang mengerumuninya, menanggalkan pakaiannya, dan memandikan dia dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.

Semasa hendak memakai baju pula, Anna tidak sangka ada orang yang akan membantu memakaikan baju untuknya. Dia juga tidak pernah memakai baju yang sebegitu selesa dan membaluti tubuhnya dengan lembut tanpa sedikit pun rasa kasar.

Setelah semuanya selesai, seorang lelaki tua berjanggut memasuki bilik itu. Dia mengarahkan semua orang keluar dari kamar itu dan meletakkan sebuah kontrak di hadapan Anna. Pada saat itu, barulah Anna tahu lelaki yang mahu mengupah dia semalam di penjara bawah tanah itu sebenarnya ialah Putera Roland, pemerintah kerajaan ini, dan dia tidak bergurau. Kontrak itu menyatakan dengan jelas jika dia bersetuju bekerja untuk putera itu, dia akan dibayar sekeping syiling emas setiap bulan.

Anna cukup arif dengan nilai sekeping syiling emas. Gaji ayahnya sebagai pelombong ditentukan oleh jumlah bijih yang dia berjaya korek, tetapi gajinya yang paling tinggi pun hanya bersamaan dengan sekeping syiling perak. Seratus keping perak bersamaan dengan sekeping syiling emas, itu pun bergantung kepada ketulenan syiling perak itu. Jadi, adakah dia diupah sebagai gundik putera itu? Anna terdengar dayang-dayang istana berbisik tentang ini semasa mereka memandikan dia, tetapi dia pasti dia tidak berharga sebegitu sekali. Darahnya sudah dicemari dosa syaitan dan semua orang yang mengenalinya akan mengelak daripada bertemu dia. Jika putera itu tidak kisah dan tidak takutkan iblis sekalipun, dia tidak perlu membayar Anna sebanyak itu.

Tetapi malam itu, tiada siapa yang datang untuk menidurinya dan Anna tidur dengan tenang. Katil itu ialah katil yang paling selesa pernah Anna rasakan dalam hidupnya, dan matanya terus terlelap sebaik sahaja dia berbaring.

Ketika dia bangun keesokan harinya, matahari sudah bersinar terang dan makan tengah hari iaitu roti, keju, dan daging stik sudah terhidang di dalam biliknya. Sebelum ini dia tidak sabar mahu mati, tetapi selepas merasa hidangan yang sebegitu lazat, air mata Anna mula mengalir.

Semua sos dan bahan perapan daging itu meletus dalam mulutnya dengan rasa rempah-ratus bercampur dan punya rasa manis yang menusuk tunas rasanya. Tiba-tiba dia merasakan dunianya mula bercahaya.

Anna mengandaikan jika dia dapat makan makanan seperti ini setiap hari, tentu dia akan lebih bertenaga untuk melawan semua iblis yang merasuk tubuhnya.

Sambil berdiri di tengah-tengah laman itu yang jauh berbeza dengan bilik penjaranya semalam, Anna diam-diam membulatkan tekadnya. Jika putera itu memerlukan dia, sama ada untuk memakai pakaian aneh ataupun mahu mempergunakan kuasa syaitan, dia sanggup berbuat apa sahaja. Jadi dia mengulang semula soalannya, tetapi kali ini tanpa rasa teragak-agak.

"Apa yang saya boleh buat untuk tuanku?"

"Sekarang, Beta mahu awak belajar mengawal kekuatan awak sendiri. Awak mesti berlatih tanpa jemu sehingga awak boleh mengeluarkan dan memadamkan api awak mengikut kehendak sendiri."

"Maksud tuanku, kuasa syaitan…"

"Tidak. Tidak, Cik Anna," Roland menghentikan soalan Anna di tengah jalan. "Ini kuasa awak sendiri." Mata biru si ahli sihir itu terkebil-kebil.

"Kebanyakan orang sudah salah sangka dan mereka fikir kuasa ahli sihir ialah milik syaitan, jadi ia kuasa jahat. Tapi sebenarnya mereka salah." Roland menundukkan badannya agar dia boleh merenung tepat ke mata Anna. "Tapi awak sudah tahu itu, bukan?"

Roland teringat tawa sinis Anna semasa dalam penjara bawah tanah semalam. Takkan orang yang jahat memandang rendah pada kuasa dirinya sendiri?

"Saya tidak gunakan kuasa saya untuk mengapa-apakan sesiapa," jawab Anna lembut, "kecuali si pencuri itu."

"Mempertahankan diri memang tak salah, dan apa yang awak buat itu memang betul. Semua orang takutkan awak sebab mereka tak memahami awak dan mereka hanya tahu kuasa boleh dicapai jika ia dilatih, tetapi mereka tidak tahu bagaimana mahu mendapatkan kuasa sihir. Manusia akan sentiasa takut dengan apa yang mereka tidak ketahui."

"Tapi Tuanku tidak takut," kata Anna.

"Sebab Beta tahu awak yang memiliki kuasa itu," balas Roland sambil tertawa. "Jika pencuri itu yang ada kuasa awak, Beta tidak akan berani berhadapan dengannya."

"Baik, ayuh kita mulakan," sambung Roland.