webnovel

Ahli Sihir Bernama Anna (Bahagian I)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Selama beberapa ketika, Roland mengunci dirinya di dalam bilik dan menghabiskan masa dengan meneliti semua memorinya tentang dunia baru ini. Semua makanannya dihantar oleh orang gaji ke biliknya.

Keinginan Roland begitu kuat untuk meneruskan hidup, jadi dia memaksa dirinya untuk melupakan ketakutan dan keresahannya dengan persekitaran baru yang begitu asing ini. Dia sedar, jika dia mahu menyesuaikan diri dan mengelakkan orang lain meraguinya, dia mesti mendapatkan sebanyak mana maklumat yang boleh.

Namun begitu, selain daripada memori dia berfoya-foya dengan anak-anak golongan bangsawan lain, dia tidak ada sebarang memori lain yang berguna. Dia tidak ada apa-apa ingatan yang bernilai, seperti pengetahuan tentang hierarki bangsawan, situasi politik dalam negaranya sendiri, apatah lagi hubungan diplomatik dengan negara-negara berjiran… Walaupun dia sendiri ada sedikit pengetahuan am tentang nama-nama bandar serta tahun-tahun kejadian bersejarah, ia begitu berbeza dengan sejarah Eropah yang dia pernah pelajari.

Lantaran itu, dia yakin yang dia tidak mungkin akan mewarisi takhta itu. Mungkin Raja Graycastle sendiri sudah menyedari kemungkinan ini, sebab itulah baginda menghantar Roland ke negeri yang teruk ini. Jadi jika dia gagal memerintah dengan baik sekalipun, ia tidak akan menjejaskan apa-apa.

Seterusnya Roland meneliti pula memori dia bersama adik-beradiknya, dan hasilnya membuat dia berasa keliru sama ada mahu ketawa atau menangis.

Abang sulung Roland, Putera Sulung, merupakan seorang perwira yang handal. Abang tengahnya sangat licik dan suka berkomplot, kakak ketiganya sangat agresif dan kejam manakala adik perempuan bongsunya sangat bijak. Apa lagi yang dia boleh katakan? Dia sudah hidup bersama mereka selama lebih satu dekad, namun dia hanya mampu menggambarkan perwatakan mereka dengan beberapa patah kata sahaja. Dia tidak tahu langsung sejauh mana kuasa mereka, siapa orang-orang bawahan mereka, mahupun kemahiran serta bakat mereka.

Roland baru mula memerintah Pekan Sempadan selama tiga bulan, tetapi golongan bangsawan di pekan itu sudah tidak lagi cuba menyembunyikan perasaan benci mereka terhadapnya. Nampaknya Putera Keempat ini tidak layak langsung menjadi pemerintah. Mujurlah ketika meninggalkan istana, dia diiringi dua orang pembantu – seorang untuk membantu dalam hal ehwal masyarakat manakala seorang lagi untuk hal-hal ketenteraan – atas arahan raja, kerana jika tidak, keadaan tentu akan menjadi lebih teruk.

Apabila Roland bangun tidur keesokan paginya, orang gajinya Tyre berkali-kali mengingatkan dia Pembantu Menteri Barov ingin bertemu. Roland tahu dia sudah tidak boleh mengelak daripada pertemuan ini lagi. Dia meraba punggung orang gaji itu dua kali – kerana seingat dia, Roland yang sebenar memang berperangai jelik seperti itu, dan menyuruh Tyre memberitahu Barov untuk menunggu di balai penghadapan.

Dia melihat muka Tyre merah padam apabila dia berjalan keluar dari bilik itu. Tiba-tiba Roland terfikir, "Bukankah aktiviti utama Pekan Sempadan ialah pertanian? Jadi sepatutnya mereka ada sistem kerja yang khusus." Dia menguap dan mengulang-ulang perkataan "sistem" di dalam kepalanya tapi tidak dapat memikirkan apa-apa.

Sememangnya semua cerita novel hanya rekaan semata-mata.

Barov sedang menanti dengan penuh gelisah di balai penghadapan. Sebaik sahaja Roland muncul, dia terus menerpa Roland lalu bertanya, "Tuanku, kenapa Tuanku tidak mengeluarkan titah hukuman bunuh semalam?"

"Hari ini atau semalam, apa bezanya?" kata Roland seraya menepuk tangannya sekali sebagai tanda untuk orang gaji menghidangkan sarapan. "Duduklah, mari kita berbincang."

Seingat dia, Ketua Kesateria lebih suka bertanyakan soalan di hadapan orang ramai sementara Pembantu Menteri ini lebih gemar bertanya soalan secara diam-diam. Tetapi walau apapun, dia percaya mereka berdua akan setia kepadanya, walaupun kesetiaan mereka mungkin hanya berlandaskan ketaatan mereka kepada raja.

"Satu hari pun sudah cukup untuk membuatkan ahli-ahli sihir lain muncul, Tuanku! Ini bukan perkara main-main, Tuanku tidak boleh berkelakuan semberono seperti sebelum ini!" kata Barov memberi amaran.

"Kenapa awak juga berkata perkara yang sama?" tanya Roland sambil mengerutkan dahinya. "Beta ingat awak tahu membezakan antara fakta dan khabar angin."

Barov terdiam bingung. "Khabar angin apa?"

"Khabar angin yang mengatakan ahli sihir ialah perempuan jahat dan utusan syaitan", jawab Roland dengan pantas. "Bukankah ini hanya propaganda pihak gereja semata-mata? Kalau kita tidak mahu mereka masuk campur dalam urusan pentadbiran kita, kita tidak patut dengar cakap mereka. Kita sepatutnya hentikan pemburuan ahli sihir dan kita patut uar-uarkan pada orang ramai yang ini semua hanya penipuan keji yang disebarkan pihak gereja."

Barov nampak terkejut. "Tapi… ahli sihir memang…"

"Jahat?" sambung Roland. "Cuba jelaskan."

Pembantu Menteri itu terdiam seketika, seolah-olah cuba memastikan sama ada si putera ini sedang bergurau atau tidak. "Tuanku, kita boleh bincang lagi tentang ini lain kali. Saya faham Tuanku tidak suka dengan pihak gereja tetapi kelakuan Tuanku sekarang hanya akan memburukkan keadaan."

Roland mengetap bibirnya. Nampaknya satu hari tidak akan cukup untuk menghapuskan tanggapan buruk terhadap ahli sihir. Dia memutuskan untuk berdiam dahulu buat masa ini.

Akhirnya sarapan pun tiba dan roti, telur goreng, serta susu dalam serahi dihidangkan di atas meja. Roland menuang segelas susu dan menghulurkannya kepada Barov.

"Awak belum bersarapan lagi, bukan? Makanlah sambil kita bersembang." Roland dimaklumkan oleh orang gajinya yang Barov sudah tiba ke istananya sebelum subuh lagi, jadi sudah tentu dia belum sempat makan. Dia tahu dia perlu meniru kelakuan si putera itu semirip yang mungkin, tetapi dia juga ingin cuba mengubah tanggapan orang ramai terhadapnya sedikit demi sedikit. Mula-mula dia mesti memastikan sikapnya sama dengan Putera Roland tetapi perlahan-lahan, dia mahu berubah menjadi lebih baik. 'Pembantu Menteri ini boleh jadi sasaran pertama yang sesuai untuk rancangan saya ini,' fikir Roland dalam hati. 'Jika kita tunjukkan yang kita menghargai usaha orang bawahan kita, mereka tentu akan rasa lebih senang hati untuk berkhidmat kepada kita. Jadi cara yang paling berkesan ialah membuka langkah pertama, bukan?'

Barov menyambut gelas susu itu daripada Roland tetapi tidak minum. Dia menyambung dengan risau, "Tuanku, kita ada satu masalah. Tiga hari lalu, pengawal melaporkan ada penempatan yang disyaki didiami ahli sihir telah ditemui di hutan barat. Ahli-ahli sihir itu lari secara tergesa-gesa dan tidak sempat membersihkan penempatan mereka. Seorang pengawal telah menemui ini di tapak penempatan itu."

Dia mengeluarkan sekeping duit syiling dari poketnya dan meletakkannya di hadapan Roland. Ia bukan matawang yang biasa dilihat di kerajaan itu, malah seingat Roland, dia tidak pernah melihat duit syiling yang sebegitu rupa. Ia kelihatan seperti bukan dibuat daripada logam. Dia memicit duit syiling itu antara dua jarinya dan tersentak apabila dia merasa syiling itu menjadi semakin hangat. Mustahil ia hangat disebabkan baru dikeluarkan dari poket baju Pembantu Menteri itu, kerana suhunya setinggi sekurang-kurangnya 40 darjah, seperti suhu pad pemanas.

"Apa ini?" soal Roland.

"Saya ingatkan ia tangkal kotor yang dihasilkan ahli-ahli sihir, tetapi rupanya ia lebih teruk daripada itu." Barov berhenti seketika dan menyeka peluh di dahinya. "Corak yang dicetak di atasnya dikenali sebagai Gencana Pergunungan Suci dan Mata Hikmat, yang merupakan lambang Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir.

Roland mengusap permukaan duit syiling itu yang menggerutu dan meneka ia mungkin diperbuat daripada tanah liat yang dibakar. Di tengah duit syiling itu, terukir sebuah corak berbentuk gunung – tiga bentuk segi tiga telah diatur seiring dan gambar sebiji mata terletak di ruang dalam segi tiga itu. Garis terap corak itu terasa kasar, jadi Roland mengagak ia telah digilap dengan tangan.

Roland cuba mengingat kembali kedua-dua istilah "Gencana Pergunungan Suci dan Mata Hikmat" serta "Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir", tetapi dia tidak mendapat sebarang maklumat yang berguna. Nampaknya Putera Roland yang sebenar langsung tidak ambil tahu tentang masalah dunia ilmu ghaib.

Barov sendiri tidak mengharapkan Roland tahu apa-apa tentang kedua-duanya. Dia menyambung, "Tuanku, Tuanku belum pernah melihat ahli sihir sebenar, jadi sudah tentu Tuanku memandang ringan tentang perkara ini. Mereka juga boleh cedera seperti kita. Mereka boleh berdarah dan juga boleh dibunuh sama seperti kita, tetapi itu hanya bagi ahli sihir yang tiada sebarang perlindungan. Jangka hayat ahli sihir yang menerima kuasa syaitan akan menjadi pendek, tetapi kuasa yang mereka dapat jauh lebih dahsyat dan tidak dapat ditandingi oleh orang biasa. Jika ahli-ahli sihir itu dibiarkan sampai ke kemuncak kuasa mereka, bala tentera kita pun tidak akan mampu menentang mereka. Kemahuan mereka untuk memusnahkan sangat sukar untuk dipuaskan dan mereka sudah dianggap sebagai orang suruhan syaitan. Jadi pihak gereja telah membentuk Angkatan Penghapus Dosa yang bertanggungjawab untuk menahan dan menghukum mana-mana wanita yang dilihat ada kemungkinan untuk bertukar menjadi ahli sihir. Baginda raja sendiri sudah memperkenankan arahan ini dan tindakan ini ternyata berkesan kerana bilangan kes kekecohan yang ditimbulkan ahli sihir sudah banyak berkurangan berbanding seratus tahun yang lalu. Khabar angin tentang Pergunungan Suci, atau lebih tepat lagi, Gerbang Neraka, sebenarnya datang daripada sebuah buku purba yang dikarang pada zaman itu."

Roland mengunyah rotinya dengan asyik tetapi dalam hati, dia mencemuh semua maklumat itu. Walaupun sejarah dunia ini dengan sejarah dunia tempat asalnya begitu berbeza, tetapi rentak kejadiannya lebih kurang sama. Golongan agamawan masih berkelakuan seperti biasa; dia yakin sebenarnya golongan agamalah yang merupakan orang suruhan syaitan dan sumber sebenar kejahatan. Menghukum seseorang hanya kerana petanda kecil dan menggunakan nama Tuhan untuk menggariskan undang-undang, menahan, membicarakan, dan menjatuhkan hukuman ke atas seseorang, inilah perbuatan keji yang sebenar. Memori Putera Roland tentang penyalahgunaan kuasa oleh golongan agamawan memang selari dengan pandangan peribadinya ini.

Barov yang tidak mengetahui gelora dalam minda Roland terus menyambung, "Buku purba itu sudah menyatakan ahli sihir hanya boleh mendapat ketenangan sebenar di Pergunungan Suci. Di sana, mereka tidak akan menderita akibat kuasa sihir mereka dan tidak akan dibebani keinginan nafsu yang meluap-luap. Pasti pergunungan yang kononnya suci itu merupakan tempat kelahiran kejahatan yang sebenar dan pintu masuk neraka di dunia. Hanya neraka sahaja yang akan menerima golongan terkutuk seperti itu dengan tangan terbuka."

"Bagaimana dengan Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir itu pula? Apa kaitan mereka dengan Pergunungan Suci ini?" tanya Roland.

Barov mengerutkan mukanya lalu menjawab, "Dahulu, jika ahli sihir mahu melarikan diri atau memencilkan diri, mereka akan lakukannya berseorangan. Tetapi sejak kebelakangan ini, Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir telah muncul dan membawa perubahan yang ketara. Mereka mahu mengumpulkan semua ahli sihir dan mencari Pergunungan Suci itu bersama-sama. Jadi Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir mahu menarik lebih ramai orang untuk menjadi ahli sihir. Di Pelabuhan Air Bening, sudah ada banyak laporan bayi-bayi perempuan hilang tahun lepas dan khabar angin mengatakan itu angkara golongan ahli sihir."