webnovel

Aku Di Dunia Elf

Kerana dibenci oleh sahabat baiknya sendiri, dia terbunuh dalam satu misi yang dirancang. Aubree ialah seorang assasin dan juga seorang tentera dengan kemampuan ilmu bela diri yang sangat tinggi dan sukar untuk dikalahkan. Kerana iri hati dengan kelebihan Aubree, Lucy yang sudah menjadi sahabat baik kepada Aubree sejak dari kecil sanggup berkomplot dengan musuh mereka untuk membunuh Aubree. Aubree terlahir kembali di sebuah dunia lain, dunia yang tidak pernah Aubree lihat. Dia terlahir semula di sebuah dunia yang dipanggil Dunia Elf. Dunia Elf? Siapa yang menyangka yang dia akan terlahir semula di badan seorang elf perempuan yang mempunyai nama yang sama dengan dia. Bezanya, elf perempuan ini adalah seorang yang lembap, bodoh dan sangat lemah. Di Dunia Elf, mereka memiliki elemen-elemen dunia dan ilmu bela diri. Elf paling lemah hanya mampu melakukan beberapa jenis ilmu bela diri tanpa elemen mereka... Tapi apa hal pula Elf yang satu ini tiada elemen dunia dan tiada ilmu bela diri. Aubree yang sangat mementingkan ilmu bela diri demi keselamatan diri, menjadi pening dengan badan baru ini. Badan baru ini sangat lemah, sangat-sangat lemah sehingga dia tidak mampu melakukan kerja lain selain menjadi pembantu rumah biasa... Dan pemilik sebelum ini meninggal hanya kerana tertelan roti---Tunggu, apa? Dunia, apa dah jadi? Memandangkan Aubree yang memiliki tubuh ini sekarang, dia berjanji kepada pemilik sebenar yang dia akan meneruskan hidup dan menukarkan sejarah kehidupan yang menyedihkan.

bbeatyybrr · Fantasy
Not enough ratings
93 Chs

Sumpah

Aubree dan Julie kembali ke rumah penginapan mereka. Kerana sekarang mereka sudah tidak mempunyai pekerjaan dan tidak mempunyai duit untuk membayar sewa penginapan, Aubree dan Julie pun merancang untuk keluar dari rumah penginapan itu dan pergi ke tempat lain.

"Akan semakin susah kita mencari pekerjaan di tempat ini, terlebih lagi bila semua orang bercakap buruk pasal kau... Mari kita pergi ke Kerajaan Selatan dan tinggal di sana. Kita akan mencari pekerjaan di sana untuk mendapatkan duit," kata Julie. Tangannya lincah memasukkan semua pakaiannya ke dalam beg kulit yang kusam dan ada kesan jahit di sana sini.

Aubree yang sedang melipat pakaiannya hanya memandang ke arah Julie yang masih mengemas. Senyuman kecil dan bersimpati muncul di bibirnya. Aubree bersimpati dengan Julie kerana dia harus berhenti dari pekerjaannya dan mengikuti jejak Aubree.

"Saya masih tidak setuju dengan keputusan kau untuk berhenti bekerja di kediaman Putera Ketiga tu. Setidaknya, kau masih punya duit dan tempat tinggal saat ini," kata Aubree.

Julie hanya memandang ke arah Aubree dan tersenyum kecil. "Saya kan sudah cakap dengan kau sebelum ni, ke mana pun kau akan pergi, saya akan ikut kau. Lagipun, semua orang di sana tidak suka dengan kau, saya tidak boleh bekerja dengan orang yang sama memburuk-burukkan nama kau."

Aubree tidak tahu hendak berkata apa lagi dan hanya menyambung kembali mengemas pakaiannya. Dalam hatinya, dia berjanji akan memberikan wang yang banyak dan tempat tinggal untuk Julie sebaik jika Aubree sudah tiba di Kerajaan Iron Tulip.

Ya, Aubree berfikir sudah tiba masanya untuk dia mengikuti White untuk kembali ke Kerajaan Iron Tulip. Setidaknya di sana tiada yang mengenal Aubree.

Setelah mereka selesai berkemas, Aubree dan Julie pun keluar dari penginapan itu. Mereka sempat singgah di sebuah kedai roti untuk membeli roti. Julie menghabiskan separuh dari yang dia simpan untuk membeli roti sebagai bekalan dalam perjalanan mereka.

Aubree mahu mencegah Julie tapi Julie tetap berkeras mahu membeli roti. Aubree yang tidak mampu menukarkan fikiran Julie itu hanya mampu memandang Julie membeli sebakul roti yang besar dengan wajah kesal.

Setelah mereka selesai dengan semua perkara di desa ini, Aubree dan Julie pun berjalan keluar dari desa itu.

Ketika mereka sedang melalui di sebuah jalan, Aubree berhenti sekejap. Dia memandang sekeliling seolah-olah dia sedang mencari sesuatu.

Julie sedar yang Aubree berhenti. Dia juga ikut berhenti setelah beberapa langkah ke depan sebelum dia menoleh ke arah Aubree. "Aubree, kenapa kau berhenti? Marilah jalan... Kalau kita berhenti, nanti kita tidak akan sempat tiba di berbatasan Kerajaan Selatan sebelum malam tiba."

Aubree hanya memandang Julie dengan sekilas sebelum dia berjalan pula ke arah lain. "Mari ikut saya..."

Julie memandang Aubree dengan wajah bingung. Namun dia tetap mengikuti ke mana Aubree pergi.

Tidak lama kemudian, mereka berhenti di sebuah kawasan kecil yang lapang.

"Baik, sudah sampai. Saya nak kau berjumpa dengan kawan saya," kata Aubree dengan sengihan yang lebar.

"Kawan?" tanya Julie, bingung.

"Ya, kawan..." Aubree menudingkan jari telunjuknya ke arah sebatang pokok yang besar.

Saat Julie memandang ke pokok itu, dia terkejut besar kerana melihat ada seekor Harimau Bertanduk yang keluar dari celah-celah pokok tadi. Secara automatik, Julie terus menarik tangan Aubree dan berlari dari sana.

"Aubree, bahaya! Ada Haiwan Sakti di sini. Mari kita lari sebelum harimau ni kejar kita!"

Aubree segera menghentikan Julie. "Jangan takut, Julie. Dia tidak akan membunuh kau. Dia bukan musuh! Dia ialah kawan saya yang saya ingin kau jumpa tadi," kata Aubree. Dia tergelak dengan reaksi terkejut di wajah Julie ketika dia melihat White.

"Kawan?" Wajah Julie menjadi lebih pucat dari yang tadi sebaik saja dia mendengar kata-kata Aubree.

"Jangan nak menipu saya! Tidak mungkin Haiwan Sakti ini adalah kawan kepada kau. Kau bukannya... Kau bukannya... Kau tidak mempunyai kekuatan atau apa-apa ilmu bela diri... Bagaimana kau boleh menjinakkan Haiwan Sakti ni?" Julie masih tidak percaya jika Harimau Bertanduk yang sudah ada di sebelah Aubree itu ialah 'kawan' kepada Aubree.

Aubree tersenyum kecil. Tangannya diangkat dan mengusap kepala White. "Kau tak perlu tahu macam mana saya jinakkan haiwan ni. Apa yang penting, haiwan ini ada di sisi kita dan akan sentiasa menolong kita. So, kau tak perlu takut."

Julie memandang White dan Aubree silih berganti dengan wajah yang ragu. Ini pertama kalinya dia melihat ada seorang Elf yang memiliki Haiwan Sakti. Selama dia bekerja di kediaman Putera Ketiga, dia tidak pernah nampak atau tahu kalau Putera Kilan mempunyai Haiwan Sakti.

Seekor Haiwan Sakti melambang kekuatan seorang Elf. Oleh itu, jika mereka memiliki Haiwan Sakti, kekuatan mereka dua kali ganda lebih kuat berbanding dengan Elf yang memiliki Kekuatan atau ilmu bela diri.

Julie merasa hairan dan curiga siapa Aubree sebenarnya. Selama dia tinggal dengan Aubree, dia tidak pernah melihat Aubree melakukan perkara mencurigakan yang lain selain bekerja di kediaman Putera Ketiga.

"Siapa... Siapa kau yang sebenarnya? Macam mana... Macam mana kau boleh jinakkan Haiwan Sakti ini?"

Aubree tersenyum kecil sambil mengusap kepala White dengan perlahan. "Kau tidak rasa familiar dengan Harimau Bertanduk ni, Julie? Kau masih ingat dengan Harimau Bertanduk yang menyerang kita dulu? Harimau Bertanduk inilah yang serang kita hari itu," Aubree dengan gembiranya menceritakan tentang kejadian pertama kali mereka terserempak dengan White.

"Oi, bukan masanya nak bercerita tentang hal itulah! Saya tanya macam mana kau boleh memiliki Harimau Bertanduk ni? Siapa kau yang sebenarnya? Apa yang saya tidak tahu tentang kau ni?" Julie menjadi geram kerana Aubree tidak langsung memberitahu dia jawapan yang ingin dia dengarkan.

Sebenarnya, semasa Julie bertanyakan tentang identiti Aubree, Aubree sedang bercakap dengan White melalui telepati.

'Dia tanya siapa saya, patutkah saya jawab yang sebenarnya?'

[Yang Mulia, jika Yang Mulia berancang hendak membawa dia kembali ke Kerajaan Iron Tulip, Yang Mulia harus menceritakan perkara sebenar kepada dia supaya dia tidak terlalu terkejut di kemudian hari.]

'Hmm, betul juga ya...'

Aubree memandang ke arah Julie lagi dan melontarkan senyuman kepada kawannya itu. "Saya tahu kau akan terkejut nampak saya ada Haiwan Sakti ni. Oleh kerana kau akan mengikuti saya mulai hari ini, saya akan perkenalkan diri saya kepada kau. Nama saya Aubree dan saya ialah seorang ratu dari Kerajaan Iron Tulip. Kerana kontrak saya sebagai pembantu rumah di kediaman Putera Ketiga sudah habis, sudah tiba masanya untuk saya kembali ke Kerajaan yang sudah saya tinggalkan. Dan kerana kau nak ikut saya sekali, tak salah rasanya saya bawa kau kembali ke Kerajaan saya," Akhirnya, Aubree pun memberitahu identitinya kepada Julie. Aubree tidak mahu memberitahu Julie yang dia sebenarnya bukan Aubree yang sebenar dan hanyalah seorang manusia yang sudah meninggal dan rohnya berpindah dan masuk ke badan ini.

Aubree juga tidak mahu memberitahu Julie yang sebenarnya dia juga baru tahu tentang identitinya sebagai ratu ketika White datang menemuinya. Aubree merasa lebih baik jika Julie tidak mengetahui banyak perkara dan dia hanya perlu tahu apa yang perlu untuk mengelakkan dia daripada diserang musuh nanti.

Mata Julie menjadi bulat saat mendengar yang Aubree ialah seorang ratu kepada sebuah kerajaan yang Julie sendiri tidak pernah dengar. "Kerajaan... Iron apa? Kenapa saya tidak pernah dengar pasal Kerajaan tu? Betulkah Kerajaan seperti itu wujud di sini?"

"Nama Kerajaan itu ialah Kerajaan Iron Tulip. Kau tidak pernah keluar dari Kerajaan Barat ini jadi memanglah kau tidak akan tahu apa-apa tentang kerajaan itu. Faktanya, tiada satu pun yang tahu tentang Kerajaan itu sebab Kerajaan itu disembunyikan dari peta dunia. Sekaranglah peluang kau untuk melawat kerajaan yang tersembunyi itu dan kau patut bersyukur kerana dapat pergi bersama saya..."

Julie diam membatu di tempat dia berdiri. Otaknya masih memproses semua maklumat yang baru saja dia terima dari Aubree tadi. Tidak lama kemudian, dia menelan air liurnya kembali.

"Macam mana... Macam mana kau tahu yang kau ialah Ratu kepada Kerajaan itu? Kenapa... Kenapa baru sekarang kau kembali? Dan... Dan jika kau ialah seorang Ratu... Kenapa kau memilih untuk bekerja di kediaman Putera Kilan?" Soalan yang bertalu-talu dilontarkan oleh Julie kepada Aubree.

"Julie, ada masanya kau perlu tahu akan sesuatu perkara dan ada masanya kau perlu diam tanpa mencari jawapan. Saat ini bukan masa yang tepat untuk saya jelaskan kepada kau tentang semua ini. Saat ini, kerajaan saya sedang menghadapi masalah. Jika semua masalah saya sudah selesai, saya akan ceritakan kepada kau semuanya..."

Aubree mendekati Julie. Wajahnya tadi menunjukkan reaksi tenang kini tiba-tiba menjadi serius. "Jadi, Julie... Mungkin sekarang kita masih dikira sebagai kawan. Tapi saya biarkan kau untuk memilih, sama ada kau ikut kata hati kau untuk ikut haluan asal kau ke Kerajaan Selatan...

Atau kau boleh ikut saya kembali ke Kerajaan Iron Tulip. Saya berjanji pada kau jika kau mengikuti saya, saya akan melindungi kau dan akan berikan kau harta yang selama ini kau tidak pernah dapat, jika kau bersumpah untuk setia kepada saya dan tidak pernah mengkhianati saya...

Kau harus tahu perkara yang paling saya benci di dunia ini ialah pengkhianatan. Jika saya tahu kau mengkhianati saya, saya tidak akan teragak-agak untuk membunuh kau, kau faham tentang itu?"

Melihat renungan tajam dari Aubree membuatkan Julie menjadi terkaku di tempat dia berdiri. Hendak menelan air liur pun payah!

Julie tidak tahu sejak bila Aubree boleh merubah auranya menjadi begini menggerunkan. Selama dia tinggal bersama dengan Aubree, gadis itu tidak pernah menggunakan aura seperti ini. Mungkin kerana sekarang dia sudah bebas dari kontrak sebagai pembantu rumah membuatkan Aubree bebas melakukan apa yang dia mahu.

"Julie, adakah kau faham apa yang saya cakap tadi?" tanya Aubree sekali lagi. Dia tidak puas hati kerana Julie hanya diam dan terkebil-kebil memandangnya.

Dengan wajah takut dan gelabah, Julie mengangguk. "Ya... Ya... Saya faham..."

"Jadi, katakan sumpah kau. Kau harus bersumpah untuk setia kepada saya jika kau memilih untuk mengikuti saya... Atau kau boleh pergi sekarang dan kita tidak akan berjumpa lagi. Kau akan hidup dengan kehidupan yang kau inginkan dan saya akan jalani hidup yang saya ingini... Pilihan ada di tangan kau..."

Julie mendiamkan diri sambil dia berfikir tentang tawaran Aubree. Dia tidak pernah akan menyangka jika Aubree akan memberi tawaran seperti ini kepadanya. Julie menyangka jika yang dia yang akan menjaga Aubree setelah mereka berhenti kerja tetapi perkara sebaliknya pula yang berlaku.

Aubree tahu jika Julie sedang berfikir keputusan apa yang perlu dia ambil jadi Aubree membiarkan Julie seketika untuk memberi ruang kepada Julie.

Setelah 15 minit berlalu, akhirnya Julie pun memandang ke arah Aubree. Dengan wajah yang tekad, dia berkata, "Saya akan ikut kau. Saya bersumpah yang saya akan tetap setia pada kau sehingga akhir hayat saya!"

Mendengar sumpah yang keluar dari mulut Julie dengan mudah membuatkan Aubree tersengih besar. Dia terus memeluk bahu Julie dan berkata dengan kuat, "Baik, kau sudah bersumpah... Jadi kau tidak boleh mengkhianati saya selepas ini! Jangan risau saya tidak akan biarkan kau mengalami kesusahan selama kau ada bersama dengan saya..."

Aubree ketawa terbahak-bahak. Suara tawanya memenuhi kawasan hutan dan bergema ke seluruh arah.

Julie menolak tangan Aubree dengan perlahan. Dia memandang Aubree dengan wajah yang ketakutan. "Kau ialah seorang ratu. Bukankah perlakuan ini tidak sopan bagi seorang Ratu? Lagi pula, saya tidak mempunyai pertalian darah dengan kau jadi status kita berbeza..."

"Sudahlah, Julie... Jangan fikirkan tentang status sekarang ini. Sebelum saya jadi ratu, kita sudah berkawan terlebih dulu... Jadi saya tidak kisah kalau kau pun layan saya macam kawan saja..."

Julie tercengang-cengang dengan kata-kata Aubree. Dia tidak pernah menyangka jika Aubree akan berkata begitu. Tidak pernah dia melihat seorang Elf yang mempunyai status sebagai kerabat diraja akan berperangai seperti itu. Aubree ialah orang yang pertama bersikap seperti itu.