webnovel

Pembalasan Aubree(3)

Aubree mengangkat wajahnya, menatap wajah Kilan yang tampan itu. Di bawah cahaya lilin yang terang di ruangan itu, ditambah lagi dengan gaya Kilan yang tenang meminum teh, membuatkan dia seperti seseorang yang datang dari Langit dengan identiti yang sangat suci; seperti seorang dewa.

Aubree tersenyum kecil, sangat kecil sehingga membuatkan orang yang melihatnya ragu-ragu sama ada Aubree itu tersenyum atau tidak.

Aubree segera menunduk pula. Dia membongkokkan badannya sedikit. 'Kamu semua masih nak membuli saya walaupun sudah nampak bagaimana perkara tadi siang berlaku? Baik, saya akan tunjukkan pada kamu semua bagaimana rasanya mendapat karma...'

"Apa yang terjadi tadi petang sangat jelas, Yang Mulia Putera Ketiga. Kenapa saya pula yang dituduh untuk memulakan semua insiden itu? Semua orang tahu apa yang terjadi petang tadi adalah kerana seekor lipas. Viana sendiri yang berteriak ada lipas di dekat dia. Jadi, katakan Yang Mulia Putera Ketiga... Bagaimana insiden ini menjadi salah saya pula?"

Untuk seketika ruangan itu menjadi senyap. Viana yang sudah bersedia untuk tergelak dalam hati melihat kekalahan dari Aubree itu, ternganga tidak percaya dan dia terus memandang ke arah Aubree.

'Sejak bila si bodoh ini pandai menjawab begitu?'

Kilan memandang Aubree dengan raut wajah yang kehairanan. Dia merasa pelik pula yang hari ini Aubree tiba-tiba pintar untuk membuka mulut. Selama ini, apa yang keluar dari mulutnya terdengar tidak masuk akal dan sering terdengar seperti benda bodoh. Tapi apa yang dikatakan oleh Aubree tadi jelas-jelas menunjukkan yang Aubree tidak seperti hari-hari biasanya.

'Kenapa dia tiba-tiba berubah?'

"Macam---Macam mana kau nak terangkan hal tentang kaki saya yang kau tendang itu?" teriak Viana pula. Dia sudah pun berdiri di atas lantai dan sedang menatap Aubree dengan mata yang terbuka luas.

Aubree terasa ingin ketawa namun ditahan di dalam hati. Dengan wajah tidak bersalah dan bingung, Aubree mengiringkan kepalanya ke kanan.

"Apa maksud kau yang saya tendang kau? Saya cuma cakap pasal lipas, kenapa saya dikaitkan dengan saya nak tendang kaki kau? Lagipun, jarak antara saya dan kau tadi sangat jauh. Saya tidak ada masa nak tendang kaki kau masa itu dan kalau saya buat pun, semua orang akan nampak."

Wajah Viana mula menjadi pucat bila mendengar ayat yang keluar satu-persatu dari mulut Aubree. Dia tidak percaya yang budak bodoh yang sering dia buli kini mula pandai melawan.

Tapi sejak bila?

Aubree memandang ke arah Kilan lagi dan menunduk hormat. "Yang Mulia Putera Ketiga, adakah apa yang saya katakan ini betul atau salah? Jika saya ditangkap cuba untuk mencederakan rakan sekerja saya kerana alasan tertentu, saya akan dihukum. Tapi saya tidak melakukan apa-apa untuk mencederakan Viana, malah dia yang membuatkan saya terjatuh tadi dan hampir terluka..."

"... Saya juga tidak akan menumpahkan agar-agar buah itu kepada Puteri Katy kalau bukan Viana yang menolak saya. Jadi, adakah saya akan tetap dihukum, Yang Mulia?"

Wajah Viana bertukar dari pucat menjadi merah. Dia tidak menyangka yang Aubree akan berkata seperti itu. Viana tidak dapat menerima apa yang dikatakan oleh Aubree.

"Kurang ajar! Pembantu bodoh yang tak guna! Berani kau memfitnah saya!" teriak Viana.

Aubree terus memalingkan wajahnya kepada Viana. "Saya tidak memfitnah kau, Viana. Saya berkata benda yang betul sebab semua orang juga nampak perkara itu. Tapi bagaimana dengan kau, Viana? Kau memfitnah saya yang saya sudah menendang kaki kau tapi kau tidak ada bukti. Adakah kamu sengaja ingin membuatkan saya dihukum?"

Kini wajah Viana muka bertukar warna ke macam-macam warna; pucat, merah, hijau, ungu. Sungguh, dia marah dan benci dengan Elf bodoh di sebelahnya ini. Sejak bila dia pandai memutarbelitkan perkataan seperti ini.

'Ini bukan diri Aubree yang bodoh dulu... Aubree dulu tidak sepandai ini. Ataupun, dia memang pandai selama ini tapi memilih untuk berdiam diri...??'

"Kau----Diam! Jangan berkata apa-apa lagi! Kau memang licik, Aubree. Pandai kau putar belitkan cerita!!" teriak Viana. Dia berfikir dalam hati, kalau tangan dia tidak diikat di belakang, Viana mesti sudah memukul badan pembantu biasa ini sehingga lebam dan luka.

"SENYAP!!!!"

Dua orang wanita Elf itu terdiam dan mereka kembali menunduk. Suara tegas dan lantang dari Putera Ketiga itu membuatkan jiwa mana-mana Elf yang mendengarnya akan merasa gerun.

Viana sudah pun bergegar kerana ketakutan di diam. Namun Aubree pula merasa yang sebaliknya. Dia tidak takut atau gentar, tapi kerana mahu menyempurnakan lakonannya, Aubree harus berlakon dan pura-pura menjadi takut.

"Yang Mulia Putera Ketiga--"

"Saya suruh kamu untuk senyap, kan? Kenapa masih mahu bercakap?" Kata-kata tegas itu menghentikan Viana daripada terus bercakap.

Viana menggigit bibir bawahnya dalam diam. 'Saya ini ialah pembantu peribadi Puteri Katy dari Kerajaan Elf Selatan... Kenapa saya diperlakukan begini oleh pembantu biasa ini? Saya tidak boleh terima, saya harus membuatkan pembantu tak guna ini yang mendapat hukuman...'

"Macam yang Aubree sudah cakap tadi, insiden tadi petang sudah jelas di mata semua orang. Tak perlu mencari apa-apa sebagai bukti. Semua boleh jadi saksi. Jadi, Viana... Terangkan pada saya kenapa kamu menuduh Aubree yang merancang semua ini sedangkan kamu sendiri yang memulakan insiden ini dan juga memalukan diri sendiri?" kata Kilan.

Issac di sebelah Kilan hanya diam saja. Dia hanya minum tehnya dengan tenang tapi matanya langsung tidak lepas dari menatap wajah Aubree.

Akan ada beberapa ketika di mana pandangan mereka bertemu namun cepat-cepat Aubree akan menunduk ke lantai lagi, seolah-olah lantai itu lebih menarik untuk dilihat berbanding dengan wajah Putera Pertama itu.

Aubree sedar Issac sedang memandangnya dengan pandangan yang tajam dan menusuk seperti seekor helang sedang menatap mangsanya, tapi Aubree bukan mangsa Issac dan Aubree tidak kenal pun dengan Issac. Dia hanya berjumpa dengan lelaki itu kelmarin.

'Mata lelaki ini sudah rosak atau apa? Kenapa masih suka betul nak tengok saya?' kutuk Aubree dalam hati. Sudah tentunya, dalam situasi seperti ini, walaupun Aubree tidak selesa dengan pandangan itu, Aubree masih kekal tenang di tempat dia berdiri.

Viana terlopong mendengar kata-kata Kilan. Kepalanya digeleng-geleng dengan laju. "Putera Ketiga, tunggu!!! Memang saya yang buat semua orang cemas tadi petang. Tapi itu sebab Aubree sudah mencampakkan lipas itu ke baju saya. Ini semua kerja Aubree!!"

Aubree terpaksa menahan rasa ketawanya lagi. Sudah tentulah dia melihat kebodohan Viana di sana. Kerana keadaan yang mendesak dan Viana semakin cemas, itu membuatkan Viana tidak mampu berfikir panjang lagi.

Kilan memandang Viana dengan wajah yang penuh dengan kerutan. 'Sejak bila pula pembantu peribadi Katy ini jadi begini bodoh?'

Viana berfikir sejenak dan dia sedar dengan kesilapannya. Dia ingin menolak namun sudah terlambat. Sudah terlanjur...

"Tidak, saya... Maksud saya..."

"Jadi, kamu katakan yang Aubree membuang lipas itu semasa dia memegang makanan itu?" tanya Issac, yang dari tadi diam akhirnya bersuara. Namun matanya masih lagi melekat di wajah Aubree.

'Dalam hati, mahu saja Aubree mencucuk mata lelaki itu, biar dia buat seumur hidup. Ada mata biru yang cantik tu, pakailah elok-elok. Jangan guna nak tenung orang macam tu...'

Viana menjadi semakin cemas. Yang tadinya masih dapat bercakap, sekarang Viana menjadi betul-betul bungkam. Dia tidak tahu hendak berkata apa lagi. Dia sudah pun membuka jerat untuk dirinya sendiri dan tidak mampu untuk dia keluar dari jerat itu lagi.

"Kamu sudah menuduh rakan sekerja kamu untuk merancang insiden tadi petang, sedangkan yang mulakan semua insiden itu ialah kamu sendiri. Kamu menuduh yang Aubree yang membuang lipas itu ke arah kamu, tapi hakikatnya, kamu yang cuba mencederakan Aubree dengan menolak dia ke lantai. Jadi, beritahu saya... Adakah kamu rasa kamu masih tidak bersalah?" Kilan berkata sambil memandang Viana dengan wajah selamba namun matanya jelas menunjukkan rasa marah.

"Putera Ketiga... Saya..." Melihat tiada cara lain untuk dia melepaskan diri, Viana terus melutut dan meletakkan dahinya ke atas lantai. "Mohon belas kasih, Yang Mulia. Saya bersalah, saya bersalah dalam hal ini."

"Jadi maknanya, kamu mengaku yang kamu yang salah?" tanya Issac.

Dalam diam, Aubree menjulingkan anak matanya kerana meluat dengan Issac. 'Itu sajalah yang dia tahu kan, tanya soalan saja?'

"Kerana kesalahan kamu ini, kamu boleh dihantar pulang ke Kerajaan Elf Selatan, tahu? Kamu mahu kembali ke sana kah?" kata Kilan pula.

Viana sudah pun menangis di atas lantai. Dia takut jika dia dikenakan hukuman yang lebih berat. Dia juga takut kalau dia akan dihantar kembali ke Kerajaan Elf Selatan. Jika dia kembali ke sana dan semua tahu kesalahan yang dia buat di sini, maka hidupnya tidak lebih dari sampah.

Semua akan mengejek dan mencemuhnya nanti. Dan pangkatnya sebagai seorang pembantu peribadi Puteri Katy akan diturunkan dan dia akan menjadi seorang pembantu biasa.

Walaupun keadaan dia begini, Viana sempat lagi menyumpah-seranah Aubree dalam hati. Kerana Aubree, keadaan menjadi lebih teruk dan dia dipersalahkan. Viana inginkan Aubree yang mendapat semua rasa malu ini tapi kenapa pula dia yang mendapat semua ini?

Di mana salah dia?

Dalam diam, Viana memandang ke arah Aubree. Apa yang dia nampak seterusnya membuatkan kaki Viana bergetar kerana ketakutan. Dia melihat bibir Aubree melengkung sedikit sebelum senyuman itu hilang.

Namun itu bukanlah satu senyuman yang biasa, tapi lebih kepada senyuman menakutkan dan membahayakan. 'Sejak bila Elf yang bodoh ini boleh tersenyum seperti itu?'

Saya tahu mungkin ada ramai yang fikir Elf ini ialah makhluk yang suci dan baik macam dalam movie.

Tapi apa-apapun, saya harap pembaca masih enjoy!

Keep reading!

bbeatyybrrcreators' thoughts
Next chapter